Kaji semula tutup semua pejabat Pelancongan Malaysia

KOTA BHARU: Penutupan pejabat Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) seluruh negara yang berkuat kuasa serta merta perlu dikaji semula.

Penutupan itu semakin memberi kesan yang tidak baik khususnya kedatangan pelancong ke negara ini terutama peringkat negeri.

Setiausaha Persatuan Pemandu Pelancong (Berlesen) Negeri Kelantan, Mohd Norhisham Muhammad Nawi, berkata penutupan itu juga memberi kesan kepada penggiat industri itu khususnya perhotelan, agen pelancongan dan pemandu pelancong.

“Ianya juga memberi kesan kepada kenderaan awam yang membawa pelancong itu sendiri sedikit demi sedikit setelah pejabat itu ditutup,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui hari ini bagi mengulas kenyataan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, semua pejabat Tourism Malaysia di seluruh negara, ditutup berkuat kuasa serta-merta tiga hari lalu.

Menurut Nazri, penutupan itu bertujuan bagi mengelak pertindihan bidang kerja promosi yang turut dijalankan di Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) masing-masing.

“Kami merayu supaya pertimbangkan semula hasrat itu demi kebaikan semua pihak,” ujar Norhisham.

Tambahnya lagi, Kelantan antara negeri di negara ini yang menerima kunjungan pelancong yang agak tinggi sehingga mencecah lima juta orang setahun.

Beliau memberitahu, sebaiknya pihak berkaitan menambah fungsi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (Spad) untuk memantau bas persiaran, kenderaan awam, lori dan sebagainya untuk tujuan komersial  yang tidak didaftarkan.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan pihak kementerian mengadakan pertemuan dengan penggiat industri itu di peringkat negeri-negeri.

“Semoga dengan pertemuan ini kita dapat selesaikan masalah berbangkit termasuk yang berkaitan motel khasnya di Kelantan.

“Apa yang menariknya bagi kami di negeri ini, biarpun berbeza politik, namun profesional dalam gerak kerja dan kami boleh bekerja bersama-sama tanpa sebarang masalah,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 26/1/2017

(Visited 2 times, 1 visits today)

Add Comment