‘Kami dah boleh tidur lena’

MACHANG – “Alhamdulillah, kami dah boleh tidur lena walaupun ketika hujan lebat. Dulu kami terpaksa berjaga sepanjang malam kalau hujan, bimbang kalau-kalau banjir lumpur berulang,” kata mangsa banjir, Norlaila Abdul Wahab, 47.

Norlaila antara sembilan mangsa banjir lumpur Kampung Bukit Besi yang menerima kunci rumah bantuan

banjir yang disampaikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, hari ini.

Menurut Norlaila, kejadian banjir lumpur pada akhir 2016 lalu cukup menakutkan keluarganya dan jiran-jiran lain.

Katanya, rumahnya tertimbus ekoran kejadian itu memaksa dia dan enam ahli keluarganya berpindah ke sebuah rumah kosong milik keluarga terdekat demi keselamatan mereka.

“Selepas 11 bulan menumpang di rumah ini, akhirnya kami anak beranak dapat tinggal di rumah sendiri. Saya berterima kasih kepada semua pihak yang membantu dan merealisasikan rumah baru ini.

“Saya mula berpindah ke sini pada Disember lalu dan anak-anak sangat gembira. Mereka boleh tinggal dan belajar dengan selesa,” katanya kepada Sinar Harian pada Majlis Perasmian Rumah Bantuan Banjir Kampung Pauh, Temangan dan Penyampaian Geran Hak Milik, dekat sini.

Majlis disempurnakan Menteri Besar Kelantan dan turut dihadiri Adun Temangan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan; Adun Kemuning, Mohd Roseli Ismail; Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Kelantan (Maik), Dr Nik Mohd Azlan Abd Hadi dan Ketua Jajahan Machang, Che Ramli Che Soh.

Sementara itu, Ahmad berkata, sebanyak sembilan keluarga telah berpindah ke rumah bantuan banjir tersebut, manakala enam rumah lagi akan dibina dalam masa terdekat.

Menurutnya, pemilihan sembilan keluarga bagi fasa pertama itu melibatkan rumah yang mengalami kerosakan teruk akibat banjir lumpur tersebut.

“Enam buah rumah lagi akan dibina bagi fasa kedua di lokasi yang sama dan kerja-kerja pembinaan akan dimulakan tidak lama lagi.

“Kita harap dengan bantuan ini dapat meringankan beban mangsa yang terjejas teruk akibat bencana itu. Selain tanah dan rumah, kemudahan prasarana turut disediakan di penempatan baru ini demi keselesaan penerima,” katanya. – Sinar Harian

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
0Share on Google+
Google+
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Add Comment