‘Kami mahu selesai cara baik’

KOTA BHARU – Sebanyak 15 syarikat pembalak mendakwa bakal berdepan kerugian hampir RM50 juta jika masalah sekatan untuk mengeluarkan hasil balak oleh masyarakat Orang Asli di Pos Gob berdekatan kawasan Hutan Simpan Balah tidak menemui jalan penyelesaian.

Presiden Persatuan Pembalakan Kelantan (PPK), Lim Boon Kiak berkata, perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku kerana kesemua syarikat yang menjalankan aktiviti pembalakan di kawasan tersebut secara sah mengikut undang-undang sejak enam bulan lalu.

image
Lim Boon Kiak (kanan) bersama wakil-wakil syarikat pembalak yang membuat laporan polis ekoran daripada insiden tersebut.

Menurutnya, tindakan penduduk Orang Asli yang membina halangan di kawasan tersebut untuk menghalang pengeluaran kayu balak daripada hutan simpan tersebut dalam insiden Rabu lalu adalah tindakan salah.

“Operasi bersepadu membabitkan PPK, Jabatan Perhutanan negeri, pihak polis dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Gua Musang, Kompleks Perkayuan Kelantan (KPK) dan syarikat terbabit pada Rabu lalu adalah bagi menyelesaikan perkara tersebut secara baik dengan penduduk Orang Asli, malah Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga turut memantau.

“Penduduk Orang Asli telah membina halangan di dalam kawasan Hutan Simpan Balah bagi menghalang pengeluaran kayu dan kita sudah cuba mengadakan rundingan selama dua jam namun gagal apabila mereka (Orang Asli) tetap berkeras. Jadi, pihak polis dengan Jabatan Perhutanan mengambil keputusan untuk merobohkan pagar berkenaan sehingga menyebabkan berlaku kekecohan,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Turut serta, Penasihat PPK, Datuk Roshaimi Razak.

Dalam pada itu, beliau turut menafikan bahawa berlaku tembakan, menyamar sebagai polis, tidak mengikut peraturan dan bertindak secara samseng dalam insiden tersebut seperti yang dilaporkan di media massa.

Malah, dakwaan yang mengatakan aktiviti penggondolan hutan seperti yang dilaporkan adalah tidak berasas.

Perkara tersebut tercetus apabila penduduk Orang Asli tersebut mendakwa kawasan pembalakan di kawasan Hutan Simpan Balah adalah tanah nenek moyang mereka yang telah di ceroboh oleh pembalak.

Mengulas lanjut, Boon Kiak berkata, selepas insiden Rabu lalu, penduduk Orang Asli memasang semula penghalang sehingga menyebabkan projek di kawasan tersebut terpaksa terpaksa dihentikan buat sementara waktu.

Tambahnya, ekoran daripada tindakan itu kira-kira 130 pekerja syarikat pembalak terbabit tidak dapat keluar dan pihaknya juga tidak dapat membawa masuk bekalan makanan ke kawasan itu.

“Kita dihalang untuk meneruskan kerja sedangkan kami mempunyai lesen dan penduduk Orang Asli tidak mempunyai hak memasang penghalang dalam kawasan hutan simpan yang jauh dari penempatan mereka.

“Sebelum ini, masalah sama juga berlaku namun sudah diselesaikan apabila kata sepakat dicapai, syarikat-syarikat pembalak juga setuju membina kemudahan infrastruktur seperti jalan, jambatan, air dan kenderaan pacuan empat roda untuk digunakan bagi melakukan kerja harian,” katanya.

Beliau berkata, ekoran kejadian tersebut laporan polis telah dibuat dan berharap siasatan serta tindakan segara dapat dilakukan bagi memastikan kerja-kerja pembalakan dapat diteruskan seperti biasa. [SINAR HARIAN]

(Visited 18 times, 4 visits today)

Add Comment