Karya Sastera Mampu Mencorak Pemikiran Masyarakat

webmaster

KOTA BHARU Puisi Tradisional Melayu merupakan warisan bangsa Melayu yang sangat unit dan mempunyai banyak keistimewaan dan peranannya yang tersendiri di kalangan masyarakat dahulu dan sekarang dalam mencorakkan pemikiran khususnya orang Melayu.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan da Pelancongan, YB Mejar (B) Dato’ Md. Anizam Ab. Rahman berkata demikian sewaktu berucap pada Majlis Pengucapan Puisi Kota Bharu Sempena Hari Puisi Sedunia (UNESCO) Peringkat Negeri Kelantan 2019 di Dataran Bandaraya, Kota Bharu malam semalam.

Katanya, Puisi Tradisional Melayu telah muncul sebelum bermulanya sistem tulisan yang sebati dalam jiwa masyarakat sebagai satu hasil seni dan merupakan satu bentuk wadah pemeliharaan adat, pembina sahsiah diri, pengajar agama, pertahanan, hiburan dan kepercayaan.

“Di hadapan kita sedang menunggu satu alaf yang penuh cabaran yang memerlukan kita sentiasa berada dalam situasi yang bersiap sedia untuk menghadapinya dan cabaran itu bukan sahaja dalam bidang ekonomi, perdagangan dan politik tetapi juga dalam bidang kebudayaan dan kesusasteraan.

Banyak peristiwa yang berlaku pada hari ini memerlukan tafsiran para seniman melalui ketajaman minda, hati nurani dan mata fikir dalam memberi jalan yang harus dipilih oleh masyarakat,” katanya.

Tambahnya, dalam mentafsir melalui ketajaman sensitiviti dan kreativiti janganlah kita terlalu ghairah dan emosional sehingga boleh membawa kehancuran dan bencana pada masyarakat kita walaupun konsep kebebasan adalah menjadi asas pendirian yang amat dipertahankan oleh para seniman.

“Masyarakat Melayu amat terkenal dengan niali-nilai kesusasteraan, kesopanan dan kesusilaan, berbudi bahasa, kesetiaan, beradat dan berpantang larang mungkin kerana masyarakat Melayu dari zaman ke zaman telah membaca dan menekuni hasil-hasil karya puisi dan penulisan yang menekankan sistem nilai, adat, alam, perjuangan dan kehidupan bermasyarakat.

Jelas kesusasteraan Melayu mampu membentuk jati diri dan membangkitkan semangat orang Melayu dalam menuntut kemerdekaan negara pada tahun 1957 yang dapat kita simpulkan bahawa karya sastera berhasil membentuk dan mencorak pemikiran masyarakat Melayu serta memupuk jati diri yang jitu,” katanya.

Pada masa yang sama YB Dato’ Md. Anizam turut mengambil peluang mendeklamasikan sebuah sajak bertajuk “Budi Mulia”.

Program Hari Puisi Sedunia disambut pada setiap tahun pada tarikh 21 Mac. Pada tarikh ini, UNESCO menggalakkan negara anggota untuk mengambil bahagian yang aktif dalam menyambut Hari Puisi Sedunia, sama ada di peringkat tempatan atau negara, melalui penyertaan aktif jabatan, NGO, institusi awam atau swasta.

Objektifnya adalah untuk mendukung semangat dan apresiasi perpaduan melalui suara dan bait-bait puisi yang dapat menarik minat khalayak terhadap sastera dan bahasa Melayu amnya.

Menanam minat khalayak terhadap seni kebudayaan tradisional dan puisi moden.

Serta menyatukan semua sasterawan, penggiat seni, budayawan, pelajar, kakitangan kerajaan untuk bersatu suara melalui puisi dalam melahirkan perpaduan antara kaum dan semangat cinta akan agama, bangsa dan negara.

Majlis diisi dengan persembahan Fragmen Teater Kota Kubang Labu oleh Senitra Jastera, deklamasi puisi (Nuraina Sofea Mazlan, Muhammad Faeq Rosli, Abdul Hafiz Sa’edi, Nurhusna Farisha Roslan, Mokhtar Mustaffa) lagu puisi (Anbakri), lagu rakyat Kelantan (Hasnul), penampilan istimewa-Sasterawan Negara (SN) Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh serta Dikir Barat: Kelantan Cakna Bahasa, Sastera dan Budaya oleh Kumpulan Warisan Anak Tani, Sri Sokor, Kok Lanas (Amran DBA dan Arman DBA).

Antara lain yang hadir dan turut mengambil bahagian dalam persembahan ialah Penaung Kehormat Persatuan Penyair Malaysia (PENYAIR) Tan Sri Dato’ Sri (Dr) Hamad Kama Piah Che Othman, Pengerusi Lembaga Pengelola, Dewan Bahasa dan Pustaka, Profesor Datuk Dr. Mohamed Hatta Shaharom, Pengerusi Penyair Malaysia, Dato’ Dr. Radzuan Ibrahim, Presiden Peradaban Malaysia, Dato’ A. Aziz Deraman, Ahli Majlis MPKB-BRI, Ruzely Abdullah, Wakil Pengarah JKKN Kelantan, Maroof Seman RS dan Pengerusi Penyair Malaysia Cawangan Kelantan, Ilmin Abdullah.

Majlis tersebut adalah anjuran Persatuan Penyair Malaysia Cawangan Kelantan (PENYAIR), Kerajaan Negeri Kelantan dan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) dengan kerjasama Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia (PERADABAN), Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MKPB-BRI), Persatuan Penulis Kelantan (PPK), Persatuan Seniman dan Penulis Kelantan (PUSPA), Persatuan Penulis dan Budayawan Negeri Kelantan (PESISIR) dan Gabungan Penulis Muda Negeri Kelantan (GEMA).- UPKN KELANTAN 12/3/2019

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Next Post

Air Sungai Kelantan Bebas Bahan Toksik

KOTA BHARU – Timbalan Menteri Besar, YB Dato’ Mohd. Amar Nik Abdullah menjelaskan yang air Sungai Kelantan bebas dari bahan toksik dan selamat diminum. “Cuma apa yang berlaku sekarang adalah airnya yang sedikit keruh memandangkan sekarang ini musim kemarau,” jelasnya ketika sidang media selepas Mesyuarat Exco di Kota Darulnaim  tengah […]

Subscribe US Now