oleh Norzana Razaly
Karnival Sukan Kelantan (KASUKEL) 2019 bakal berlangsung pada 1 – 3 Ogos 2019 yang berlokasi sekitar Kota Bharu, Pasir Mas dan Bachok melibatkan 2100 atlet untuk 17 jenis sukan yang akan dipertandingkan di SUKMA 2020 Johor Bharu.
YAB Ustaz Dato’ Bentara Setia Menteri Besar Kelantan, Hj. Ahmad Yakob dijadual akan melancarkan perasmian pembukaannya pada 1 Ogos 2019 di Dewan Jubli Perak , MPKB –BRI, jam 2.00 petang.
Menurut Penolong Setiausaha Urusetia Induk KASUKEL 2019, Afiz Ikmal Adenan, 37, kekuatan penganjuran karnival sukan ini digerakkan dengan kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri Kelantan di bawah kelolaan Majlis Sukan Negeri Kelantan (MSNKel), Urusetia Belia, Sukan dan NGO Kerajaan Negeri Kelantan (U-BeS), Jabatan Belia Dan Sukan Negeri Kelantan, Persatuan Sukan Negeri Kelantan, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Polis Diraja Malaysia, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB-BRI) dan Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan (TIC) serta syarikat Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) dan Co-Ummah sebagai penaja air minuman rasmi.
“Persiapan acara ini bermula sejak Mac 2019 melibatkan pakar teknikal seramai 330 tenaga daripada Persatuan Sukan Negeri, 100 orang selaku urusetia, 100 staf MSNKel, Ubes & Jabatan Belia dan Suka Negeri serta 100 orang sukarelawan,” kata Afiz.
“Menariknya, penyertaan atlet Kelantan amatlah memberangsangkan dan dijangka acara ini semakin meriah dengan persembahan aksi sukan terbaik oleh para atlet dari Terengganu, Melaka, Johor, P.Pinang, Pahang, Wilayah Persekutuan dan Phatalung, Thailand,” ujarnya.
“Maka kita mengalu-alukan semua peminat sukan dan seluruh rakyat Kelantan serta negeri berdekat hadir menyaksikan KASUKEL 2019,” tambahnya.- UPKN KELANTAN 30/7/2019
Sumber: https://www.facebook.com/upknkelantan/posts/2427607427473610
