oleh Norzana Razaly
Kebaikan, senyuman dan kebahagian itu saudara akrab. Umpama lontaran senyuman yang menyenangkan pemandang, demikian sebaran kebaikan melantunkan semula kebahagiaan kepada pelakunya demikian juga sebaliknya.
Sebagaimana maksud firman Allah SWT di dalam surah al-Isra’ ayat 7:
”Jika kamu berbuat baik (bererti) kamu berbuat baik bagi dirimu sendiri dan jika kamu berbuat jahat maka kejahatan itu bagi dirimu sendiri.”
Iltizam mempermudahkan kehidupan orang lain ibarat usaha menyuluh cahaya kepada penghidupan mereka, secara tidak langsung kita juga sedang menerangi perjalanan sendiri. Prinsip inilah menjadi amalan para pimpinan Kerajaan Negeri Kelantan.
Misalannya inisiatif Program Musaadah Covid-19 cetusan ahli parlimen Pengkalan Chepa merangkap Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal-Ehwal Agama), YB Ustaz Ahmad Marzuk bin Shaary.
Selari dengan agenda kebajikan gagasan Kerajaan Negeri Kelantan, program ini bermatlamat membantu meringankan beban keluarga B40 yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat wabak pandemik Covid-19.
“Inisiatif ini sejajar dengan inspirasi Kerajaan Negeri Kelantan agar kebajikan rakyat terjaga dan sesuai dengan amanat YAB PM demi memastikan ada makanan terhidang di dapur masing-masing”, kata YB Ahmad Marzuk melalui pesanan suara Whatspp.
Sistematik
Menurut Pegawai Khas, Muhammad Abdul Munib Assyakirin bin Zakaria, program anjuran Pusat Khidmat Ahli Parlimen Pengkalan Chepa ini dilaksanakan mengikut gerak kerja berkala dan sistematik dalam menetapkan tarikh agihan dan menentukan bentuk bantuan.
“Bermula PKP Fasa 1 sehingga 23 April 2020, pihak kita menghulurkan bantuan berupa barangan dapur. Manakala pada Fasa 2 merangkumi Ramadan 1441H, bantuan Bakul Ramadan pula diagihkan berisi makanan asas dan kurma, sesuai dengan situasi semasa”, tulisnya melalui aplikasi Whatsapp.
Tambah Abdul Munib, kaedah pengagihan pula dilaksanakan oleh penghulu mukim dan Majlis Pengerusi Komuniti Kampung (MPKK). Setakat ini sasaran dicapai berdasarkan senarai nama rakyat berkenaan diperolehi daripada bancian yang dijalankan oleh penghulu mukim.
Sama rata
Seramai 8400 keluarga B40 dalam parlimen Pengkalan Chepa yang benar-benar memerlukan sudah pun disantuni melalui program sokongan penuh kasih sayang ini tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik melibatkan dana RM500 ribu.
“YB dan semua para petugas yang sekadar membantu berasa sangat bahagia melihat senyuman ceria pada wajah penerima sehingga terlupa penat-lelah sendiri sepanjang aktiviti pengagihan sumbangan yang dilakukan tanpa bertangguh”, jelasnya.
Nah, inilah nikmat kemanisan yang tidak dapat digambarkan dengan perkataan natijah amalan menolong orang yang memerlukan.
Maka, benarlah bagai dikata, berbuat kebajikan itu ibarat melempar boomerang kebahagiaan yang akhirnya kembali semula kepada pelakunya.
#KawalPergerakanKekalBerkebajikan
#PKP
#Covid19
#PergiatMunajatPertingkatTaubat