oleh Norzana Razaly
Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu sehingga kini, rakyat Kelantan yang terkesan teruk telah disantuni sebaik-baiknya oleh pihak Kerajaan Negeri, agensi dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) serta individu perseorangan.
Misi Kembara Dakwah (MKD) sebuah NGO berdaftar di bawah Konfederasi NGO Negeri Kelantan yang beroperasi di Jelawat, Bachok, secara sukarela telah menyumbangkan bantuan makanan asas kepada mereka yang memerlukan sepanjang PKP berlangsung.
Sementelahan sebaik sahaja Ramadan tiba, banyak sumbangan diterima melalui penajaan oleh Exco Kerajaan Negeri, badan korporat dan pihak swasta serta individu perseorangan dapat diagihkan sama-rata dan tanpa lengah kepada asnaf.
Kebersamaan
Menurut Timbalan Pengerusi MKD, Dr. Wan Martina Wan Yusoff, kehadiran beberapa Exco Kerajaan Negeri Kelantan seperti YB Dato’ Hajah Mumtaz Md Nawi, YB Ustaz Tuan Sarapudin Tuan Ismail dan YB Dr Izani Husin termasuklah ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) seperti YB Rohani Ibrahim, YB Huzaimy Husein, YB Ustaz Rodzi Jaafar ketika menyampaikan sumbangan memberi nilai tambah rasa kebersamaan yang bermakna buat rakyat.
Setakat 11 Ramadan, sebanyak 1200 ekor ayam dalam anggaran RM13,000.00 dan 1000 bungkusan makanan bermasak dan paket kuih-muih serta lauk-pauk untuk berbuka puasa berpurata kos RM7 ribu, sudah diagihkan kepada asnaf terpilih sekitar Kota Bharu, Pasir Puteh dan Machang.
Sementara itu, 300 bungkus bubur lambuk pula disediakan kepada siswa-siswi Universiti Malaysia Jeli yang disampaikan oleh Speaker DUN Kerajaan Negeri Kelantan, YB Speaker DUN Kelantan, Dato’ Abdullah Ya’kub dan 70 bungkusan makanan asas disumbangkan kepada asnaf Kuala Balah.
Libat-urus
Sementara itu, pihak Kelab Penunggang Skuter Kelantan (K-RIDERS) juga menganjurkan program Santuni Asnaf pada 9 Mei lalu.
Program libat-urus masyarakat khususnya kepada asnaf tersebut telah mendapat sambutan hangat daripada 12 anggota K-RIDERS.
Menurut Pengarah Program, Mohd Ali Akbar bin Yusoff, sumbangan seperti makanan asas bertujuan menambah bekalan makanan asasi golongan asnaf yang semakin berkurangan untuk kelangsungan hidup pada bulan Ramadan dan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.
Seramai 33 orang asnaf sekitar Peringat dan Kubang Kerian telah disampaikan oleh Presiden, Mohamed Rafi’e Abdul Kadir berserentak dengan wakil K-RIDERS, Mohd Samsuri Razali yang turut menyampaikan bantuan kepada lapan asnaf di Pulau Suri, Tumpat.
Bagi pihak K-RIDERS dan asnaf, program tersebut tambah bermakna apabila Menteri Alam Sekitar dan Air merangkap ahli parlimen Kubang Kerian, YB Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man sedia berkerjasama menjayakannya.
Berkongsi rezeki
Yayasan Amal Malaysia Cawangan Kelantan (Yayasan Amal) pula mengambil inisiatif menganjurkan dua program menarik bernama Berkongsi Rezeki Subuh dan Sekampit Beras Sekilo Gula bagi menyantuni golongan kurang bernasib baik yang terkesan akibat PKP demi memberi secalit sinar menyambut Ramadan.
Pengerusinya, Abdul Hamid Seman menjelaskan sambutan kempen untuk untuk turut sama menyumbang derma amatlah memberangsangkan daripada pelbagai pihak termasuklah ADUN Guchil, YB Hilmi Abdullah yang sudi menaja dan menyampaikan sumbangan kepada penduduk Kuala Krai.
“Kaedah pengagihan sumbangan dilaksanakan mengikut bancian terperinci oleh wakil kami di setiap jajahan kerana tidak mahu berlaku pertindihan penerimaan sumbangan daripada wakil rakyat, Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Majlis Adat Istiadat dan Hal-ehwal Islam Kelantan (MAIK), pihak masjid, korporat atau NGO kecuali keadaan penerima bantuan amat daif dan keuzuran”, katanya.
Tambahnya lagi, peruntukan dana sebanyak 50% daripada RM20,000.00 hasil derma orang ramai, 30% diperolehi daripada ahli Yayasan Amal sendiri dan baki 20% sumbangan badan korporat telah dibelanjakan bagi membekalkan barangan dapur serta wang tunai untuk diagihkan kepada penerima yang layak terdiri daripada buruh kasar, penoreh getah, ibu tunggal, pesakit lumpuh, warga emas dan fakir miskin.
Kesimpulannya, penglibatan NGO seperti MKD, K-RIDERS dan Yayasan Amal ini amat wajar diberi pujian, disokong dan dicontohi kerana amal bakti mereka secara sukarela menagih pengorbanan emosi, masa, tenaga dan material yang besar demi meringankan beban insan yang kurang bernasib baik.
Semoga segala aktviti libat-urus kemasyakatan para NGO ini menjadi inspirasi kepada khalayak untuk mencontohinya dan kian ramai bersedia berganding bahu membantu golongan yang memerlukan. Mudah-mudahan setiap zarah amal bakti seperti ini layak menjadi pemberat Mizan kebaikan di Mahsyar kelak.
#KawalPergerakanKekalBerkebajikan
#PergiatMunajatPertingkatTaubat
#UndangMaghfirahUlangZikrullah
#HidangMahmudahHadangMazmumah