KAWAL PERGERAKAN KEKAL BERKEBAJIKAN (SIRI 6): FUNNELEVO ANJUR SEMINAR PERCUMA KEPADA USAHAWAN KELANTAN

oleh Norzana Razaly

Jika mahu berbuat baik, maka pepatah hendak seribu daya sesuai dipraktik. Benar, pelbagai ikhitiar difikirkan oleh para pencinta kebaikan untuk menolong orang lain yang di dalam kesempitan.

Terinspirasi oleh agenda kebajikan pimpinan, jabatan dan agensi Kerajaan Negeri Kelantan serta NGO, sebuah syarikat berorientasi IT, FunnelEvo mengambil teladan untuk turut beramal kebajikan melalui penganjuran seminar Entrepreneur Online Summit (EOS) secara percuma kepada usahawan Kelantan dan seluruh Malaysia selama tiga hari berturut-turut.

Pengasasnya, Haji Fahdi Ghazali, 33, kelahiran Pasir Puteh, Kelantan amat bersimpati terhadap nasib para usahawan khususnya di Kelantan yang mengalami kemerosotan jualan bahkan hilang pendapatan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan penularan wabak Covid-19.

Seminar percuma

Empati Haji Fahdi terhadap usahawan yang terkesan teruk, meluap-luap. Lalu secara sukarela beliau menganjurkan seminar tanpa yuran selama tiga hari pada 1 hingga 3 Mei lalu bermula pukul 8.00 pagi sehingga 4.00 petang.

Melalui platform digital, EOS bersiaran secara langsung mengunakan media atas talian di dalam kumpulan Facebook khas yang berjaya mengumpulkan 19,000 pendaftaran.

Speaker pelbagai kepakaran

Menurut Haji Fahdi, pihaknya telah berjaya mengenal-pasti ramai usahawan dengan latar masalah berbeza, maka mudah bagi pihaknya menampilkan 12 speaker jemputan dengan pelbagai kepakaran untuk berkongsi tips dan teknik berdasarkan keperluan peserta.

Antara speaker jemputan ialah Prof Dr. Muhaya dan Ustaz Yaakub Yusra yang mengendalikan sesi pemasaran kerohanian berasaskan formula rahsia untuk menarik lebih banyak rezeki dan kebahagiaan menggunakan teknik bisikan hati.

Fokus utama pengisian slot ini adalah dari sudut keagamaan dan motivasi diri. Contohnya sentiasa bersangka baik dengan musibah Allah SWT. Percaya bahawa perancangan Allah baik kerana di dalam setiap kesulitan ada kemudahan.

Usahawan yang mengikuti kelas secara atas talian disaran oleh pakar inspirasi tersebut suoaya menyakini konsep rezeki Allah, cara dan teknik menjemput rezeki datang khususnya ketika musim krisis.

Di samping itu, peserta turut dikongsi ilmu berkenaan perkara yang dilarang atau perlu dielakkan di dalam perniagaan dan persediaan menghadapi resam baharu pasca Covid-19 yang sememangnya menjejaskan seluruh ekonomi dunia.

Pemasaran digital

Teknik dan strategi pemasaran digital amat relevan dengan trend semasa terutama pasca Covid-19. Begitu pendapat pakar pemasaran digital, Sifu Jamal dari syarikat SifufBads mengupas teknik pemasaran zaman baharu dari aspek strategi rahsia untuk mempopularkan jenama dan menaikkan kadar jualan sepuluh kali ganda daripada pendapatan sedia ada secara atas talian ketika berdepan dengan fenomena kebiasaan baharu.

Kelangsungan perniagaan

Topik “Survival Bisnes Ketika Gawat: Rahsia Bagaimana Untuk Survive, Sustain and Grow Dengan Gaya Baharu Ketika Krisis Kegawatan Ekonomi” dikongsikan oleh Hasbul Brothers yang berkepakaran dalam bidang pemasaran dan aliran tunai syarikat mendapat perhatian serius daripada peserta yang majoritinya terjejas teruk akibat PKP dan isu Covid-19.

Sementara itu, selebriti Fizo Omar pula mencuri tumpuan audien menerusi pendedahan pengalaman sebenar beliau bangkit kembali selepas bankrap dengan tips yang sangat praktikal pada 2 Mei lalu.

“Allah bagi ujian untuk buat kita bersedih akibat kita terlalu lalai. Jadi, tak mengapa bankrup harta, asalkan jangan bankrup mental”, pesan Fizo.

Manakala Tuan Faizul Ikhwan dari Rahsia Ceramah Memukau memperturunkan ilmu kepentingan usahawan memiliki mindset (gaya fikir) yang betul untuk dapatkan (result) keputusan yang hebat walaupun ketika keadaan meruncing.

Capai sasaran

Tuan Khairul yang berkepakaran dalam bidang bidang “close sales online” turut berkongsi topik “Ubah Cara Jualan dan Tetap Capai Target”. Beliau menerangkan kaedah “close sale” secara umum tetapi praktikal dilakukan walaupun ketika berlaku situasi di luar kawalan.

Manakala Tuan Haji Asri Ahmad dan Tuan Ahyat Ishak pula berkongsi tentang pelaburan saham dan hartanah.

Mereka menyifatkan kejatuhan ekonomi akibat wabak adalah peluang keemasan untuk direbut oleh semua usahawan. Oleh itu, usahawan mesti pandai mengambil kesempatan melabur di dalam bidang pasaran saham dan hartanah untuk menjana pendapatan dan aset sepuluh kali ganda daripada sekarang.

Inspirasi

Puan Hanim dari syarikat Annems Leadership Solution tampil berkongsi berkenaan kepimpinan dan pengurusan di dalam syarikat ketika gawat. Beliau memberi panduan dan petua kepada pendiri bisnes mampu memimpin syarikat untuk meneruskan kelangsungan perniagaan dengan keluar dari zon lama dengan mencipta kejayaan pada waktu sukar.

Seorang lagi selebriti tersohor, Dato’ Afdlin Shauki mencuit perhatian audien yang terinspirasi daripada perkongsian kisah perjalanan hidup sebenar beliau yang berasal dari status budak penghuni rumah pangsa yang berjaya menjadi jutawan.

Rakaman siaran langsung

Menariknya, Haji Fahdi menyedari bukan semua usahawan berkesempatan mengikuti seminar percuma tersebut secara lagsung melalui atas talian.

Oleh itu pihaknya mengambil inisiatif merakam semua siri seminar tersebut yang boleh dicapai melalui laman funnelevo.com/eosspecial dengan sedikit kadar setimpal.

Demikian ikhtiar sebuah syarikat milik anak muda Kelantan untuk membantu para usahawan tempatan bahkan usahawan lain juga agar berasa sedikit selesa untuk mendepani cabaran di dalam dunia keusahawanan dan mengadaptasi fenomena kelaziman baharu pasca Covid-19. Semoga amal kebajikan FunnelEvo berterusan dan dicontohi syarikat lain juga serta mendapat keberkatan Allah SWT.

#KawalPergerakanKekalBerkebajikan
#PergiatMunajatPertingkatTaubat
#UndangMaghfirahUlangZikrulkah
#HidangMahmudahHadangMazmumah
#Covid19HadapiDenganBerani
#EosFunnelEvo

(Visited 16 times, 1 visits today)

Add Comment