KAWAL PERGERAKAN, KEKAL BERKEBAJIKAN (SIRI 7): SINERGI PKD, BADAN KORPORAT DAN NGO RANCAKKAN AKTIVI KEBAJIKAN DI KELANTAN

webmaster

oleh Norzana Razaly

Pepatah berkata buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali. Penulis suka memberi improvivasi khusus kepada pencinta kebaikan dengan penambah nilai ungkapan yakni “buat yang terbaik berganda-ganda, jangan mengharap dibalas kembali kecuali daripada Allah sahaja.”

Berkat teladan daripada akhlak terpuji sultan dan pimpinan Kerajaan Negeri Kelantan, kian ramai para pencinta kebajikan terutamanya Badan Bukan Kerajaan (NGO) serta syarikat korporat tampil secara sukarela bersinergi dengan pihak Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (PKD) merancakkan lagi agenda kebajikan negeri demi membantu meringankan beban rakyat Kelantan yang terkesan teruk akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk memutuskan rantaian penularan wabak pandemik Covid-19.

Semarak Ramadan

Pertubuhan Cakna Palestin Malaysia Cawangan Kelantan (Cakna Palestin) berkolaboratif dengan Misi Kembara Dakwah (MKD) menganjurkan program Semarak Ramadan sejak 1 Ramadan lalu.

Bantuan 200 ekor ayam atau 7 tong (420kg) ikan segar dipastikan sampai setiap hari kepada asnaf terpilih mengikut DUN tertentu.

Menurut Timbalan Presiden II Cakna Palestin selalu Koordinator dan Pengarah Projek, Abdul Shakur Sharrie, kita sangat terkesan dengan hadis riwayat Ahmad, al-Tarmizi dan al-Baihaqi, daripada Ummu Ammarah, Rasulullah SAW yang beraksudnya: “Sesungguhnya orang yang berpuasa apabila makan bersamanya orang berpuasa yang lain, maka sentiasalah para malaikat mengucap selawat ke atasnya sehingga selesai daripada makannya.”

Memanfaatkan dana

Tambahnya, Cakna Palestin dan MKD cuba sedaya-upaya memanfaatkan semua dana program Uncang Ramadan sebanyak RM20 ribu yang diperolehi melalui sumbangan pihak korporat dan individu perseorangan dengan mengagihkannya secara saksama kepada asnaf di DUN Demit, Kijang, Chempaka, Panchor, Gaal, Mengkebang, Guchil, Selising, Bunut Payong, Limbongan dan Pantai Irama.

“Sejak Ramadan bermula, pihak kita mempastikan setiap hari asnaf dibantu. Contohnya, pada 6 Mei lalu, seramai 440 keluarga asnaf kawasan Guchil dan Mengkebang, Kuala Krai disantuni dengan penuh kasih-sayang oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guchil, YB Hilmi Abdullah dan ADUN Mengkebang, YB Muhammad Mat Sulaiman.

“Sejumlah 14 tong ikan seberat 840kg, murtabak dan kuih-muih lain turut dihulur kepada asnaf sebagai pelengkap juadah berbuka puasa diedarkan dengan bantuan PKD melalui penghulu tempatan”, ujarnya puas hati.

Program ini terus dibuka kepada para penderma buidman turut berkongsi pahala untuk mencapai sasaran seramai mungkin asnaf di 15 DUN Kelantan dibantu yang memerlukan kos RM50 ribu.

Sumbangan boleh disalurkan kepada Cakna Palestin melalui akaun Bank Islam: 0301 8010 1229 39 atau Maybank: 5530 3803 3881.

Bubur lambuk Tanjung Mas

Warga kerja Pusat Khidmat DUN Tanjung Mas bersinergi mencipta momen indah bersama staf syarikat Nestle cawangan Kelantan pada 14 Ramadan bersamaan 7 Mei semalam, melalui acara memasak bubur lambuk dalam suasana penuh ramah-mesra.

Menurut Pengarah Program merangkap penghulu Mukim Padang Garong, Encik Roslan Hussain, proses memasak bermula pukul 12.00 tengahari manakala sesi agihan bermula pukul 3.00 hingga 4.00 petang.

Sebanyak 1200 mangkuk bubur lambuk berserta perencah Maggi Cukup Rasa diagihkan sendiri oleh ADUN Tanjung Mas, YB Hajah Rohani Ibrahim kepada penduduk sekitar Jalan Bayam dan kampung Berek 12, Kota Bharu, Kelantan.

Meriah dan terkawal

Proses berdiri dan menghulurkan makanan tersebut kepada pengguna jalan raya itu memakan masa satu jam berlangsung secara meriah dan terkawal tanpa kesesakan tarfik dengan bantuan kawalan lalu lintas oleh empat anggota Penguatkuasa Majlis Perbandaran Kota Bharu- Bandaraya Islam (MPKB-BRI) di tengah-tengah terik bahang matahari.

Kesimpulannya, seumpama mutiara kata Saidina Umar ibn al-Khathab, “Al-Nas abna’u ma yuhsinun”, (manusia adalah anak dari kebaikan yang dilakukan), para pencinta kebaikan yang gigih berbakti seperti seluruh pimpinan Negeri Kelantan yang diteladani oleh warga PKD, Cakna Palestin, MKD, MPKB-BRI dan Nestle turut mempraktikkan tujuan berkebajikan untuk membahagiakan sesama insan.

Mereka melakukannya ikhlas semata-mata kerana Allah demi menyahut seruan fastabiqul khairat (berlumba-lumba mengerjakan kebaikan) Allah menerusi surah al-Qasas ayat 77) dan mencipta saingan dalam memastikan siapa yang terbaik di antara mereka seperti firman Allah, “Dialah Allah, Tuhan yang menjadikan mati dan hidup supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya.” (al-Mulk:2).

#KawalPergerakanKekalBerkebajikan
#PergiatMunajatPertingkatTaubat
#UndangMaghfirahUlangZikrullah
#HidangMahmudahHadangMazmumah

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Next Post

KAWAL PERGERAKAN, KEKAL BERKEBAJIKAN (SIRI 8): TIMBALAN MENTERI WANITA, PPWK DAN PAPISMA BERKEBAJIKAN MENUNJANG BAKTI WIRA BARISAN HADAPAN

oleh Norzana Razaly Hal kebajikan sememangnya sinonim dengan al-Sultan dan para pimpinan Kerajaan Negeri Kelantan. Tidak terkecuali para agensi, NGO serta badan dan syarikat korporat hatta individu perseorangan turut terinspirasi berlumba-lumba berbuat amal kebajikan. Ia selari dengan agenda kebajikan yang menjadi salah satu daripada tiga tonggak tadbir urus negeri selepas […]

Subscribe US Now