KAWAL PERGERAKAN, KEKAL BERKEBAJIKAN (SIRI 8): TIMBALAN MENTERI WANITA, PPWK DAN PAPISMA BERKEBAJIKAN MENUNJANG BAKTI WIRA BARISAN HADAPAN

webmaster

oleh Norzana Razaly

Hal kebajikan sememangnya sinonim dengan al-Sultan dan para pimpinan Kerajaan Negeri Kelantan. Tidak terkecuali para agensi, NGO serta badan dan syarikat korporat hatta individu perseorangan turut terinspirasi berlumba-lumba berbuat amal kebajikan.

Ia selari dengan agenda kebajikan yang menjadi salah satu daripada tiga tonggak tadbir urus negeri selepas tonggak keberkatan dan kemakmuran.

Amal baik hatta sebesar zarah tetap dihitung Allah apatah lagi lenjun keringat jelas merenik di dahi Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap ahli parlimen Rantau Panjang, YB Dato’ Hajah Siti Zailah Mohd Yusoff yang turut merebut peluang berkebajikan menjahit “baju perang” kepada wira barisan hadapan ketika meninjau salah satu pusat jahitan amal Sut PPE untuk “frontliners” di bawah kordinasi Kerajaan Negeri Kelantan.

Peka derita rakyat

Pemimpin yang peka penderitaan ini amat sentisif terhadap isu kemiskinan rakyat di Parlimen Rantau Panjang. Beliau akan terus menangis memandang wajah duka rakyatnya.

Sebab itulah beliau sanggup mengorbankan naluri kewanitaanya yang adakala ingin “jjangok” (berhias) dengan memakai barang kemas, namun segera dilupakan apabila teringat nasib rakyat yang dirundung malang.

“Sehinggalah sekarang di tangannya tiada tersarung hatta sebentuk cincin belah rotan atau seutas gelang sebesar janggut udang”, ujarnya melalui panggilan telefon.

Meskipun kini, beliau direzekikan Allah menjadi Timbalan Menteri, perwatakan tawaduk dengan sifat qana’ah (bersyukur seadanya) ketika di Kelantan, istiqamah dibawa ke Putrajaya pula.

PPWK jahit baju perang

Menyentuh tentang kelestarian berbuat baik, sembilan Pusat Pembangunan Wanita Kelantan (PPWK) seluruh Kelantan yang melibatkan tenaga 45 mudarribah, pelatih, Alumni PPWK (AJWA) dan AJK pengurusan tidak ketinggalan bertungkus-lumus menyiapkan peralatan perlindungan diri “Personal Protective Equipment” (PPE) untuk kegunaan petugas barisan hadapan bagi menangani Covid-19.

Menurut Pengarah Urusetia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (Ukekwa), Ilvira Mohd Dasuki, sejak 24 Mac lepas PPWK menawarkan perkhidmatan menjahit dan menyiapkan PPE dalam kapasiti 70 pasang sehari.

Katanya, sehingga sekarang PPWK mengeluarkan sebanyak 11,709 item merangkumi tudung 3,627, shoe cover 3,537, gaun 3,565, boot cover 957 dan 23 jump suit.

“Bahan kelengkapan tersebut termasuk getah, benang dan plastik dibekalkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA).

Luluh hati dan empati

Sementara itu, mudarribah PPWK Tanjung Mas, Puan Suhaili Ismail mengakui pihak PPWK terharu sehingga berasa luluh hati melihat petugas barisan hadapan khususnya pihak kakitangan hospital yang terpaksa menyarung PPE plastik dan span akibat kekurangan perbekalan PPE.

Empati dengan pengorbanan para wira negara itu, graduan Diploma Profesional Fesyen dan Design melalui perkongsian pintar PPWK dengan Lim Kok Wing pada tahun 2015-2016 tersebut bertekad untuk turut menyumbang khidmat dan kemahirannya menjahit “baju perang” kepada wira tersebut melalui PPWK.

“PPWK berbesar hati berkhidmat kepada Kerajaan Negeri melalui Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan yang tampil memberi bantuan dengan kerjasama PAPISMA, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan RELA dalam menyediakan PPE”, katanya yang mampu menyiapkan 20 set PPE sehari.

PAPISMA turun padang

Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) cawangan Kelantan komited membantu menjaga kebajikan kepada para petugas barisan hadapan dengan membuka bilik gerakan di Taman Makmur, Kampung Chicha, Kubang Kerian.

Pengerusinya, Dr Tengku Ahmad Damitri al-Astani Tengku Din berkata, bilik gerakan PAPISMA berperanan sebagai pusat pengumpulan dan pengagihan bekalan selepas menerima banyak sumbangan orang ramai termasuk air mineral dan makanan kering.

“Selain tugasan pengumpulan dan pengagihan, ahli PAPISMA Kelantan lebih 1,000 orang terdiri daripada doktor pakar, pegawai perubatan, pensyarah, penyelidik, jururawat, penolong pegawai perubatan dan sebagainya bersedia turun padang dan berpakat menghasilkan kelengkapan PPE untuk diedarkan kepada hospital seperti penutup muka dan pencuci tangan. Kebanyakan hospital akan menghubungi kita bagi mendapat keperluan tersebut,” katanya melalui audio WhatsApp.

Beliau memaklumkan, PAPISMA juga membekalkan bahan mentah untuk dijahit oleh PPWK seperti gaun, penutup kepala, pelindung muka serta sarung kaki mengikut piawaian dan kelulusan pakar perubatan kecemasan, pakar penyakit berjangkit, Hospital Raja Perempuan Zainab II dan pakar perubatan kesihatan awam Universiti Sains Malaysia yang juga ahli PAPISMA Kelantan.

Cipta Gerobok Covid-19

Lebih membanggakan, kejayaan PAPISMA mencipta 15 unit ‘Gerobok Covid-19’ untuk diagihkan kepada hospital dan klinik kesihatan termasuk di luar Kelantan.

Dr. Tengku Ahmad Damitri mengakui kos keseluruhan RM2,300 untuk membina satu gerobok. Manakala harga pasaranya memang lebih mahal.

Pihak PAPISMA berbesar hati apabila Menteri Alam Sekitar dan Air, YB Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man sudi hadir mewakil-terima penyerahan ‘Gerobok Covid-19’ kepada pihak Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan di perkarangan Wisma Persekutuan pada 1 Mei lalu. Dato’ Tuan Ibrahim juga telah memberikan sumbangan sebanyak RM20 ribu kepada PAPISMA bagi menghasilkannya.

Kata Dato’ Tuan Ibrahim, alat itu mampu menjamin keselamatan petugas barisan hadapan melakukan saringan wabak. Sekali gus kemudahan tersebut akan mengurangkan penggunaan PPE serta kaedah penggunaannya lebih selamat.

PAPISMA juga berterima kasih kepada pihak Universiti Institut Teknologi MARA (UiTM), Machang dan NGO seperti Persatuan Cina-Muslim Malaysia cawangan Kelantan (MACMA) dan iPAKSi yang menjalinkan kerjasama berkebajikan ini.

Tuntasnya, pencinta kebajikan seperti YB Dato’ Hajah Zailah, PPWK dan PAPISMA Kelantan yang saling berpadu tenaga berlumba-lumba menyumbangkan ilmu, keringat, bakat dan kudrat yang ada pada mereka untuk dimanfaatkan para petugas barisan hadapan.

Pengorbanan mereka amatlah tinggi nilai kemanusiaannya demi mempermudahkan urusan sesama insan yang memerlukan berdasarkan kesesuaian keadaan.

Sifat positif mereka yang menunjang bakti para wira negara wajar diberi kredit tertinggi, disokong dan dicontohi serta didoakan agar menjadi pemberat Mizan kanan di Mahsyar nanti. Allahumma Amin.

#kawalpergerakankekalberkebajikan
#pergiattaubatpertingkatmunajat
#hadangmusibahhidangmahmudah
#undangmaghfirahulangzikrullah

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Next Post

SURAH AR-RAHMAN BERGEMA DI KELANTAN

oleh Nurhusna Farisha Roslan *pelajar praktikal KIAS KOTA BHARU– Persatuan Rumah Ngaji Negeri Kelantan (PRNNK) mempelawa muslimin-muslimat di Kelantan untuk turut mengimarahkan program World Quran Hour bersama umat Islam seluruh dunia. Kempen ini berlangsung serentak di seluruh dunia pada hari ini, 13 Mei bersamaan dengan 20 Ramadan 1441H. Acara interaksi […]

Subscribe US Now