KDNKHEP lantik pemegang stok mini bekalan banjir

KOTA BHARU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan melantik pemegang stok mini yang berlesen menjual barangan berjadual bagi mengelak berlakunya ketirisan terutamanya semasa musim banjir.

Pengarahnya, Khalid Tik berkata, ia merupakan salah satu inisiatif KPDNHEP dalam plan kontigensi untuk menentukan bekalan makanan dan barang kawalan (makanan dan barang keperluan) semasa bencana alam mudah diperolehi, termasuklah dengan harga yang berpatutan.

“Selain itu, mereka juga diberi kebenaran dan kelonggaran untuk menyimpan barang melebihi kuantiti yang dibenarkan dalam lesen iaitu sebanyak 30 peratus.

“Ia juga akan membantu agensi lain yang bertanggungjawab supaya tidak berdepan masalah untuk mendapatkan bekalan barang kawalan dan barang keperluan bagi kegunaan mangsa banjir di pusat-pusat pemindahan,” katanya kepada media dalam satu sidang media disini.

Menurutnya,  sebanyak 15 pembungkus minyak masak, 26 pemborong gula masak dan tepung gandum, 22 pengedar LPG, 30 stesen minyak serta 17 pasaraya di seluruh negeri dilantik untuk diberi kelonggaran sebagaimana yang dinyatakan.

Beliau berkata, antara barangan kawalan dan barang keperluan bagi persediaan musim tengkujuh adalah beras, susu pekat, susu tepung, garam, gula, tepung gandum, minyak masak, sardine, petrol, diesel dan gas petroleum cecair.

“Kami juga akan menempatkan pegawainya untuk bertugas secara tiga shif di Bilik Gerakan Banjir bagi memantau dan membuat penyelarasan bantuan bekalan keperluan, khususnya barang kawalan.

“Dengan cara ini juga kita akan memulihkan aliran pengedaran bekalan barang kawalan serta menyelesaikan masalah bekalan. Dalam masa yang sama juga kita akan bersedia memberi kebenaran untuk meminjamkan aset KDPNHEP kepada agensi bantuan untuk kegunaan pengurusan banjir,”katanya.

Sementara itu, 332 kes melibatkan pelbagai kesalahan dengan jumlah nilai rampasan RM524,919 dicatatkan KPDNHEP  untuk tempoh awal tahun ini hingga semalam. Antara kes tertinggi yang dicatatkan ialah di bawah Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP) iaitu 137 kes dengan nilai rampasan sebanyak RM52,156.

Manakala untuk Ops Bersepadu 2018, Khalid memberitahu, sebanyak 121 kes dicatatkan dengan nilai kompoun berjumlah RM12,000 melibatkan beberapa cawangan iaitu  Kota Baharu, Gua Musang, Pasir Mas, Tanah Merah dan Kuala Krai.- SINAR HARIAN 17/10/2018

http://www.sinarharian.com.my/edisi/kelantan/kdnkhep-lantik-pemegang-stok-mini-bekalan-banjir-1.893125

(Visited 3 times, 1 visits today)

Add Comment