KOTA BHARU – Cuaca panas dan kering berikutan fenomena El Nino dan kecuaian manusia, antara faktor utama yang menyebabkan peningkatan kes kebakaran di negeri ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Azmi Osman berkata, pihaknya merekodkan sebanyak 80 kes kebakaran pada bulan lepas dan ia meningkat kepada 86 kes pada bulan ini sehingga semalam.
Ia melibatkan pelbagai kebakaran seperti rumah, bengkel, kedai, kilang, kenderaan, ladang dan hutan.
Kecuaian manusia boleh menyebabkan berlakunya kebakaran seperti mereka tidak menutup suis elektrik selepas digunakan dan melakukan pembakaran terbuka, katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Azmi berkata cuaca panas dan kering sekarang ini akan menyebabkan sesuatu kawasan seperti ladang, belukar dan hutan mudah terdedah kepada risiko kebakaran.
Beliau berkata dalam tempoh berkenaan, jumlah kerugiaan adalah kira-kira RM1.5 juta namun tidak melibatkan kematian.
Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai agar mengambil langkah sewajarnya bagi mencegah kebakaran. – Bernama