KEHARMONIAN PELBAGAI KAUM DI KELANTAN TERUS UTUH

oleh Norzana Razaly

Setelah mencecah 30 tahun Kelantan ditadbir-urus dengan dasar Merakyatkan Membangun Bersama Islam (MMBI), rakyatnya yang berbilang kaum dan agama hidup aman-damai dan harmoni.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan, YB Mejar (B) Dato’ Haji Md Anizam bin Abdul Rahman mengharapkan rakyat negeri ini saling berkerjasama untuk mengekalkan keamanan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat. Pemimpin masyarakat hendaklah berkerjasama untuk menyelesaikan masalah rakyat.

“Pemimpin masyarakat seperti penghulu hendaklah mengambil berat masalah rakyat di kawasan masing-masing seterusnya diangkat kepada kerajaan untuk diambil tindakan” katanya ketika berucap merasmikan majlis sambutan Tahun Baharu Cina di dewan serbaguna Kampung Baru Rangkaian Balai, Bachok pada 8 Februari 2020.

Ahli Dewan Uundangan Negeri (ADUN) Pantai Irama YB Haji Huzaimi bin Che Husin dalam ucapan aluannya berkata, kehidupan rakyat berbilang kaum di Kelantan sangat harmoni kerana sikap patuh kepada dasar MMBI yang menganjurkan kebebasan warna negeri mengamalkan kepercayaan dan kebudayaan masing-masing dengan saling menghormati hak sesama masyarakat.

Sementara itu, Timbalah Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan (UPKN) Nazman bin Che Ibrahim mengajak masyarakat berbilang kaum di negeri ini supaya sentiasa rajin dan tekun bekerja bersesuaian dengan tahun tikus mengikut kalendar Cina.

“Sempena tahun tikus mengikut kalendar Cina, maka kita hendaklah mengambil sudut positif haiwan tersebut iaitu berkenaaan sikapnya yang rajin mencari makanan” ujarnya.

Hadir sama pegawai khas antara kaum Pejabat Menteri Besar Cikgu Law, Pegawai Penerangan Zon Urusetia penerangan Lim Guan Seng dan pemimpin setempat. Majlis diserikan dengan persembahan tarian singa, penyampaian sumbangan ang pau dan jamuan laksa.

Pada sebelah malamnya, YB Mejar (B) Dato’ Haji Md Anizam Bin Ab Rahman, mewakili YAB Menteri Besar Kelantan, Dato’ Bentara Kanan Hj Ahmad bin Yakob, merasmikan Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran Gabungan Pertubuhan Tiong Hwa Kelantan bertempat di Perkarangan Bangunan Tiong Hwa Kelantan, Lembah Sireh, Kota Bharu.

Antara petikan ucapan YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Menteri Besar yang dibacakan oleh YB Mejar (B) Dato’ Md Anizam ialah;

Dalam melicinkan perjalanan agenda kebajikan kepada masyarakat bukan Islam, kerajaan negeri telah menubuhkan Pusat Integrasi Antara Kaum (PEKA) bertujuan menjaga kepentingan, keharmonian dan kerukunan hidup antara kaum di Kelantan. Di samping itu, ia berperanan sebagai saluran rasmi perhubungan dua hala Kerajaan Negeri dengan masyarakat berbilang kaum serta NGO pelbagai kaum di Negeri ini.

Serentak dengan itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, YB Dato Hajjah Mumtaz Md Nawi juga merasmikan Majlis Sambutan Tahun Baru Cina di Kg. Chepa yang dihadiri oleh pelbagai kelompok masyarakat dalam suasana penuh meriah dan muhibbah.

“Islam menganjurkan perpaduan. Oleh itu, rasa kebersamaan harus selalu ada dalam jiwa rakyat Kelantan untuk terus saling hidup bermuafakat dan aman damai. Inilah kunci kesejahteraan Kelantan. Pegang kunci ini baik-baik barulah kemakmuran negeri ini kekal tak tergugat”, pesannya.

Sekalung tahniah buat seluruh masyarakat Cina Kelantan atas iltizam untuk terus berkerjasama dengan Kerajaan Negeri Kelantan bagi mengekalkan keharmonian dan keutuhan perpaduan di negeri ini.- UPKN KELANTAN 9/2/2020

Sumber: https://www.facebook.com/upknkelantan/posts/2596854090548942

(Visited 72 times, 1 visits today)

Add Comment