Kelantan anjur Ekspresi Kalam lahirkan pemidato

KOTA BHARU: Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat, Kesihatan, Alam Sekitar dan NGO Negeri Kelantan bersama gabungan Konfederasi NGO Kelantan (KNK) bakal mengadakan program Ekspresi Kalam: Pemidato Muda.

Pengarah program Ekspresi Kalam, Ustaz Hafiz Awang menyatakan demikian selepas Mesyuarat Jawatankuasa Ekspresi Kalam Pemidato Muda yang diadakan di Syabab Point di sini.

Program ini antara lain bermatlamat untuk melahirkan ikon-ikon kalangan belia. Sesuai dengan suasana semasa iaitu program berkonsepkan realiti pada hari ini bagaikan suatu fenomena di seluruh dunia, termasuklah di negara kita.

Pelbagai tema dan kreativiti program realiti dipersembahkan bagi menarik minat ramai terutama kalangan golongan muda.

“Program ini bakal bermula dengan sesi uji bakat yang akan dilangsung pada 24 dan 25 November depan antara jam 10 pagi hingga 12 tengahari di Syabab Point, berhadapan Istana Kota Lama, Kota Bharu bagi mencari sejumlah peserta bagi program ini.

“Manakala cabaran Pentas Ekspresi akan bermula pada 3 Disember hingga Pentas Akhir Ekspresi 24 Disember depan di Laman Sejahtera Taman Hijau yang terletak berhampiran gerbang rehal Kota Ismail Petra, Kota Bharu” kata Ustaz Hafiz.

Menurut beliau lagi, peserta akan didedahkan dengan teori dan latihan melalui Kuliah Ekspresi yang akan dikendalikan oleh Ustaz Mohd Asri Daud dan Ustaz Ahmad Fadhli Shaari.

Persembahan peserta bukan sekadar berpidato, tetapi mereka juga perlu menyelitkan elemen-elemen lain dalam pengucapan mereka.

“Ekspresi Kalam menawarkan hadiah menarik kepada semua peserta berupa wang tunai, hadiah iringan dan pelbagai faedah lain.

“Proses penyikiran dilakukan setiap minggu dan peserta akan diadili oleh kalangan juri profesional dan netizen melalui laman sosial facebook Agenda Kesejahteraan Rakyat, selain ia dapat diikuti secara langsung melalui talian internet,” katanya.

Majlis perasmian pula akan disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat, Kesihatan, Alam Sekitar dan NGO Negeri Kelantan, Datuk Dr Ramli Mamat pada siri pertama program ini. – HARAKAHDAILY 14/11/2016

(Visited 2 times, 1 visits today)

Add Comment