KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menerima bayaran kedua dari Syarikat CNMC Goldmine Holdings Limited sebanyak RM 8,524,127.62 semalam.
Sumbangan berkenaan diserahkan Pengerusi Eksekutifnya, Professor Lin Xiang Xiong kepada Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob, di Kota Darulnaim.
Bayaran pertama telah dibuat pada 19 September lalu berjumlah RM 2,660,000.00.
Bayaran berkenaan sebagai kelulusan untuk pengendalian skala besar Pajakan Melombong untuk tempoh 21 tahun sehingga 2034.
Turut hadir pada majlis itu, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Nik Kazim Nik Yusoff, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat, Hanifa Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif, Dr Wan Zawawi Wan Ismail, Naib Pengerusi Eksekutif syarikat berkenaan, Choo Chee Kong.
Pengeluaran emas yang pertama adalah pada tahun 2010 dan kini masih berjalan.
Ustaz Ahmad, pada majlis itu melahirkan rasa syukur memandangkan RM60 juta bakal diperolehi kerajaan negeri melalui PKINK hujung tahun ini.
Katanya, jumlah bayaran itu melalui dividen, royalti dan tribute.
“Jumlah itu tidak termasuk kos perbelanjaan untuk program Corporate Social Responsibility (CSR) sama ada sebelum atau selepas,”ujarnya. – HARAKAHDAILY 24/10/2016