Kelantan bantah usul persempadanan SPR 2016

N.04 WAKAF BHARUKOTA BHARU: Kerajaan negeri membentang representasi bantahan ke atas syor-syor yang dicadangkan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) terhadap usul persempadanan semula kawasan pilihan raya 2016.

Bantahan itu dibuat pada prosiding siasatan tempatan kali pertama Bahagian-bahagian Pilihan Raya Negeri Kelantan di sebuah hotel di sini hari ini.

Antara kawasan parlimen yang terlibat dengan bantahan iaitu Tumpat, Bachok, Pasir Puteh, Pasir Mas, Rantau Panjang, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kubang Kerian dan Ketereh.

Manakala Parlimen Gua Musang, Kuala Krai, Jeli dan Tanah Merah tidak termasuk dalam bantahan terhadap usul persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Wakil kerajaan negeri pada prosiding itu Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, kerajaan negeri menerima banyak  bantahan terhadap perubahan dalam syor-syor dibuat SPR daripada rakyat di seluruh negeri.

Katanya, kerajaan negeri meneliti terlebih dahulu dan hanya mengemukakan bantahan bagi kawasan yang tidak boleh tidak diperbetulkan.

“Bantahan yang dibuat kerajaan negeri hanya di beberapa kawasan yang perlu perbetulkan demi kemudahan rakyat khususnya pengundi, pegawai-pegawai kerajaan dan Majlis Daerah.

“Bahkan ia juga dapat memudahkan tugas pegawai SPR yang akan mengendalikan pilihan raya. Kita yakin SPR membuat keputusan bijaksana menerima bantahan dibuat.

“Lagi pun ia selaras dengan prinsip-prinsip yang dinyatakan dalam Seksyen 2, bahagian 1, Jadual ke-13 Perlembagaan Persekutuan,” katanya ketika ditemui selepas prosiding tersebut.

Beliau yang juga Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan berkata, sebagai contohnya Daerah Mengundi Kota Kubang Labu, Dun Wakaf Baru dikeluarkan SPR dari Dun Wakaf Baru.

Menurutnya syor SPR itu menyebabkan Pekan Wakaf Baru akan dipecah kepada dua kawasan Dun yang berbeza.

Sedangkan katanya Majlis Daerah Tumpat dalam Rancangan Tempatan Jajahan Tumpat 2020 yang diwartakan pada 17 Mac 2011 kawasan Kota Kubang Labu berada dalam blok perancangan pembangunan Wakaf Bharu. – HARAKAHDAILY 4/12/2016

(Visited 1 times, 1 visits today)

Add Comment