KELANTAN CAKNA KEBAJIKAN MAHASISWANYA DI TIMUR TENGAH

oleh Norzana Razaly dan Nur Atikah Hanis Musa

KOTA DARULNAIM – Kerajaan Negeri Kelantan melalui portfolio Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi amat komited menjaga kebajikan rakyat bukan sahaja di dalam negeri bahkan mahasiswa di Mesir, Tunisia dan Jordan demi memastikan keselamatan mereka ekoran penularan wabak Covid-19.

Pengerusinya, YB Dato’ Dr. Fadzli Hassan mengetuai jawatankuasa khas di bawah potfolio Pengajian Tinggi bagi menyelaras kebajikan mahasiswa di Timur Tengah termasuklah agihan makanan, bantuan sanitasi pusat kediaman dan kuarantin serta pengurusan membawa pulang mereka dari pusat kuarantin ke Kelantan.

“Kepada ibu bapa yang mempunyai anak sedang belajar di Mesir tidak perlu bimbang tentang keselamatan anak mereka di sana kerana insya Allah semua mereka selamat dan saya sendiri akan pantau segala kemaslahatan mereka secara terperinci”, ujarnya selepas mempengerusikan Mesyuarat Laporan Semasa Kebajikan Mahasiswa Timur Tengah Kelantan untuk mendapatkan informasi terkini di Mabna, Kota Darulnaim hari ini.

Sementara itu, Pegawai Kebajikan Pelajar Kelantan Timur Tengah, Khairul Anuar Ismail pula melaporkan, pihaknya selaku sub-ordinat jawatankuasa khas tersebut dengan kerjasama Kedutaan Besar Malaysia Kaherah dan Keluarga Pelajar-Pelajar Kelantan Mesir (KPKM) ,Kesatuan Mahasiswa Kelantan Jordan KMKJ dan Persatuan Mahasiswa Kelantan Tunisia telah berjaya melaksanakan proses agihan bantuan bekalan bahan makanan secara berkala.

Tambah beliau, proses kuarantin bangunan dan kediaman yang berisiko mendapat jangkitan, pemantauan keselamatan dan kesihatan pelajar yang masih berada di Mesir di samping pekeliling keselamatan dan makluman dikeluarkan dari masa ke semasa.

“Jumlah pelajar yang masih tinggal di Wisma Sultan Muhammad V dan Wisma Tengku Mahkota Kelantan di Kaherah setakat ini seramai 90 orang sahaja. Manakala selebihnya berada di kediaman sekitar Kaherah”, hurainya melalui audio Whatsapp dari pejabat berpengkalan di Kaherah.

(Visited 27 times, 1 visits today)

Add Comment