Kota Bharu – Kelantan kini menjadi peneraju dagangan Kredit Karbon (Carbon Credit Trading) yang pertama di Malaysia di bawah program jalinan kerjasama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB ) dalam usaha mengurangkan pengeluaran karbon daripada aktiviti pembalakan tidak terkawal di negeri-negeri membangun.
Pada hari ini, sejarah terpahat di Kelantan apabila selesai menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) dengan syarikat tempatan, Climate Protector Sdn Bhd di Hotel Perdana pagi tadi. Matlamat jangka panjang projek ini adalah untuk mengurangkan pengeluaran karbon daripada aktiviti pembalakan dan untuk meningkatkan stok karbon di hutan hujan sambil menyumbang kepada pembangunan mapan.
Inisiatif Kerajaan Negeri ini adalah untuk memelihara hutan dan alam sekitar. Ia adalah projek pertama di Malaysia dan Kelantan satu-satunya Kerajaan Negeri yang melakukannya. Projek REDD ini akan mengambil masa12 hingga 24 bulan untuk melakukan analisa saintifik, penilaian dan laporan verifikasi oleh para saintis bertauliah untuk mengenal pasti stok karbon di kawasan hutan yang dikenal pasti Kerajaan Negeri. Jumlah kawasan yang terbabit adalah 396,000 hektar dengan anggaran kawasan hutan meliputi 1 juta ekar.
Melalui projek ini, dalam tempoh 30 tahun tidak akan ada sebarang aktiviti sama ada pembalakan atau perlombongan dalam kawasan yang ditetapkan. Ia akan dipantau dengan ketat supaya tidak akan ada pembalakan haram dan dipastikan agar hasrat tersebut tercapai. Bagi rakyat Kelantan, projek ini akan mencetuskan kesedaran terhadap aktiviti konservasi dan menjana pekerjaan buat rakyat tempatan.
YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Menteri Besar Kelantan mewakili Kerajaan Negeri manakala syarikat Climate Protector diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya Mr. Tan Too Siah dalam majlis menandatangani perjanjian projek tersebut. Turut hadir YB Dato’ Timbalan Menteri Besar Kelantan, YB Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri, YB Dato’ Penasihat Undang-Undang, YB Dato’ Pegawai Kewangan, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri.