KOTA BHARU: Sehingga sekarang pelbagai usaha dilakukan kerajaan negeri bagi membantu masyarakat Orang Asal di pedalaman Kelantan.
Malah Kelantan dianggap mendahului negeri-negeri lain apabila memberi geran hak milik tanah kepada penduduk terbabit.
Tahun lepas seramai 60 penduduk di Kuala Betis mendapat geran lot kediaman. Pada 2010 penduduk Pos Sendrop juga mendapat surat hak milik tanah secara berkelompok.Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata kerajaan negeri melakukan pelbagai usaha bagi membantu rakyat tanpa mengira kaum dan agama.
Begitu juga katanya masyarakat Orang Asal yang tinggal di pedalaman Kelantan tetap dibantu.
“Sehingga sekarang sudah banyak kelulusan tapak rumah yang kita beri kepada mereka. Dan program pembangunan kerajaan negeri juga kita libatkan mereka.
“Misalnya Pembangunan Ladang Rakyat kita juga turut melibatkan mereka sebagai peserta seramai 300 orang. Mereka diberi dividen sebanyak RM200 sebulan,” katanya di sini.
Kelmarin Sahabat Alam Malaysia dan wakil penduduk Orang Asal menghantar memorandum cadangan pembaikan kawasan hutan kepada kerajaan negeri.
Sebelum ini sekumpulan penduduk Orang Asal mengadakan sekatan laluan lori balak di Simpang Petei, berhampiran Pos Gob sehingga menyebabkan aktiviti pembalakan terpaksa dihentikan.
Ustaz Ahmad juga berkata Yayasan Amanah Tok Kenali (YTK) pula dipertanggungjawab membangunkan masyarakat Orang Asal di Pos Jedip dengan menyediakan lot penempatan dan bengkel kemahiran.
Selain itu katanya, kerajaan negeri turut menyediakan kawasan seluas lebih 2,200 ekar di Pos Gob sebagai kawasan rayuan dan tempat mereka mencari rezeki.
“Jabatan Perhutanan Negeri akan menyediakan kawasan tersebut yang dikhaskan untuk masyarakat Orang Asal,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 3/11/2016