Kelantan dan alam sekitar

webmaster

HANYA faktor masa yang mampu menjawab persoalan pengkritik Kerajaan PAS Kelantan. Itu asasnya. Sejak awal Januari 2018, peluru dan bom politik dihalakan kepada pentadbiran kerajaan negeri oleh beberapa pimpinan PH Kelantan khasnya apabila negeri ini membangunkan tanaman Eucalyptus di Gua Musang.

Kisah kejayaan Eucalyptus

Semalam (16 Julai 2020) saya sempat turun bersama team liputan berita Urusetia Penerangan Dan Komunikasi Kerajaan Negeri Kelantan ke Lojing bersama YB Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar bin Abdullah, Pejabat Tanah Lojing, Jabatan Perhutanan, YB ADUN Galas, ADUN Nenggiri, Penyelia DUN Paloh dan ramai lagi pimpinan serta agensi yang berkaitan.

Selepas dua tahun setengah projek ini dikecam dan dihujani pelbagai persoalan oleh pembangkang, akhirnya sinar harapan kembali meninggi sekali gus memberi jawapan yang amat terang lagi jelas kepada mereka yang pernah sangsi dahulunya.

Melihat pokok-pokok Eucalyptus yang subur meninggi ke langit sehingga 30 dan 40 kaki, dengan kesegaran udara sekeliling, barisan pokok yang lurus teratur, ukur lilit batang yang membuktikan kesesuaian tanah dan lain-lainnya, membuatkan hati terasa puas. Ya, ia satu kejayaan buat negeri tadahan wahyu ini.

Senarai kritikan lama

Pada 14 Januari 2018 dahulu saya pernah menulis berkaitan tanaman ini apabila ‘blogger’ dan ‘cybertrooper’ musuh memainkan isu ‘minyak urut’.

Antara kecaman mereka adalah:

(1) Kerajaan negeri sudah tidak berjuang untuk royalti minyak, tetapi sibuk tanam pokok kayu putih (Eucalyptus) untuk buat minyak urut.

(2) Berapa luas hutan negeri terpaksa di’korban’kan untuk 400,000 anak benih Eucalyptus?

(3) Eucalyptus akan menyebabkan sungai, tasik, mata air di hulu akan mengering kesan daripada akar pokok ini yang akan menyerap air jauh ke dalam perut bumi.

(4) Mahkamah di India yang telah mengharamkan pokok ini di sana kerana bahayanya (No.3 di atas).

(5) Lekehnya Kelantan kerana nak usahakan minyak kayu putih sebagai minyak urut.

Itu hanyalah sebahagian daripada kritikan mereka 5 bulan sebelum PRU14 tempoh hari, yang kini hanya menjadi rekod sejarah. Ya tidak mengapalah, kerana menjelang musim pilihan raya semuanya yang dibuat akan dilihat serba tidak kena pada pandangan pembangkang.

Tanah pulih dan pohon sekitar subur

Melihat kepada tanaman Eucalyptus di tapak atau petak kajian semalam, dengan mudah sahaja semua yang hadir dapat menjawab tuduhan bahawa pokok ini ‘menyerap air bawah tanah sehingga sungai boleh kering’. Memang sejak dahulu ia adalah satu tuduhan yang melucukan.

Keadaan tanah di petak tanaman itu kelihatan lembut dan subur walaupun asalnya ia adalah tanah keras, bekas matau balak. Memang tanah keras. Tetapi selepas dibangunkan tanaman ini, tanah kembali lembut dan subur.

Manakala di sekeliling kawasan tanaman ini, pokok-pokok pisang dan pohonan hutan yang lainnya kekal tumbuh subur dan ‘gemu‘. Sekali gus hujah lelucon oleh pembangkang dua tahun lepas terjawab sudah. Sungai mengering? Jawab dengan senyuman sahaja sudah cukup.

Sebagai perbandingan dengan tanaman ladang hutan yang lain seperti Akasia dan Dalbergia Sissoo, pokok Eucalyptus lebih kurang menyerap air bawah tanah berbanding dua spesis tadi. Ini telah lama kita sebutkan kepada mereka.

Kurang pergantungan kepada hutan asli

YB Dato’ Mohd Amar semalam kelihatan amat gembira melihat kemajuan yang ditunjukkan dalam program penanaman pokok ini yang mana hasrat sekian lama kerajaan negeri untuk mengurangkan pergantungan kepada hutan asli (pengeluaran) bakal berjaya. Hasilnya nanti adalah untuk pembuatan papan lapis, ‘chips’ untuk penghasilan kertas, industri fiber, bahkan digunakan juga sebagai bahan utama untuk pintu, tingkap, lantai, perabot rumah dan bahan asas di kebun atau ladang.

Minyak kayu putih pula adalah ‘by product’ ataupun hasil sampingan dalam industri ini. China sendiri mengeluarkan 2,000 tan setahun minyak kayu putih ini dan menjadikan pendapatan hasil minyak ini senilai 20 peratus daripada jumlah keseluruhan tukaran asing negaranya.

Brazil menjadi pengeluar utama produk berkait kayu spesis ini diikuti Negara China. Semoga Kelantan mampu menjadikan Malaysia sebagai antara negara yang akan mengekori rapat negara-negara berkenaan selepas daripada ini.

Ambil pengalaman China

China telah mengusahakan ladang hutan ini sejak awal 1900 dan kini terdapat 460,000 hektar tanaman Eucalyptus dengan jumlah pokoknya melebihi 1.5 bilion batang. Sejak 1960, China membangunkan 10 ladang hutan Eucalyptus untuk memenuhi permintaan bidang pengangkutan keretapi negara mereka iaitu kayu pelapik landasan (railway sleepers).

Manakala di Pulau Hainan, penanaman Eucalyptus meliputi 100,000 ha tanah yang mana 80 peratus daripadanya adalah untuk pembalakan dan selebihnya digunakan sebagai pokok perisai atau penghadang daripada angin taufan.

Dan, lebih mengujakan di sekitar Daerah Sichuan, pokok ini ditanam sekitar kampung dan kawasan perumahan, sepanjang jalan raya dan terusan atau sungai sebagai pokok yang ada nilai industri dan juga sebagai pokok perhiasan landskap.

Di Selatan China pula, Eucalyptus digunakan secara meluas sebagai hutan perlindungan di sepanjang persisiran pantai dan juga tebing-tebing sungai besar. Banyak kajian menunjukkan pokok ini mampu menyerap kesan kemusnahan akibat taufan sehingga 80 peratus seperti berlaku di Guandong. Dan di Sungai Nanliu dalam Kawasan Guangxi, ia ditanam di sepanjang 84km aliran tebing sungai lalu memberikan keselamatan kepada lebih 92,000 orang rakyat sekitar.

Pihak berkuasa tempatan di Yunnan pula menjadikan pokok Eucalyptus ini sebagai tanaman yang boleh memperbaiki komposisi tanah. Ketumpatan tanah dapat diperbaiki dan aliran serta pergerakan selut dan pasir dapat dikawal dengan wujudnya tanaman ini.

Semua ini menunjukkan bahawa tanaman Eucalyptus adalah satu produk yang bagus dan banyak yang boleh dipelajari oleh Kelantan di Negara China.

Masa depan Eucalyptus Kelantan

Kajian oleh Universiti Putra Malaysia sebelum daripada ini di dalam pembentangan bertajuk ‘Potential of The Eucalyptus Plantation in Malaysia’ ada menyebut bahawa kerajaan seharusnya menyokong industri penanaman Eucalyptus kerana ia dijangka akan berkembang sebagai spesis utama dan penting di negara ini.

Projek tanaman Eucalyptus ini antara lainnya adalah untuk menghijaukan lagi bumi Kelantan. Ia alternatif bagi memulihkan kawasan hutan miskin dan terosot.

Melihat dari sudut kelestarian hutan, keseimbangan ekologi, kebaikan untuk alam sekitar, dan lain-lainnya, Kelantan yang saban tahun terlibat dengan musim hujan dan banjir, penanaman Eucalyptus seperti ini yang boleh tumbuh subur di kawasan cerun dan kawasan kurang subur, ia sudah pasti akan berfungsi menghalang hakisan, memperkukuh struktur tanah dan mengurangkan kelajuan air deras.

Alhamdulillah seperti mana kata YAB Menteri Besar Kelantan, sehingga kini, Kelantan masih dilitupi kawasan berhutan seluas 53.7 peratus, yang mana 40 peratus darinya adalah Hutan Simpanan Kekal. Ini merupakan satu pencapaian yang dapat dibanggakan kerana ia menunjukkan komitmen kerajaan negeri dalam aspek pemeliharaan, pengurusan dan pembangunan hutan secara profesional telah, sedang dan akan sentiasa teguh.

NAZMAN CHE IBERAHIM
Presiden PERTAHAN Kelantan – HARAKAHDAILY 17/7/2020

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Next Post

EUCALYPTUS LESTARIKAN HUTAN KELANTAN, BANTU INDUSTRI PERKAYUAN

oleh Norzana Razaly LOJING – Kerajaan Negeri Kelantan serius mengekalkan kelestarian hutan di negeri ini sebagaimana kata Menteri Besar, YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Hj Ahmad Yakob, Kelantan masih dilitupi kawasan berhutan seluas 53.7 peratus, yang mana 40 peratus darinya adalah Hutan Simpanan Kekal. Bermula 11 Januari 2018, satu lagi […]

Subscribe US Now