KOTA BHARU: Kelantan menangguhkan harga pasir yang diumumkan baru-baru ini bagi melakukan kajian semula kadar berkenaan.
Harga baru yang dikuatkuasa Rabu lepas iaitu pasir kasar RM10.60 satu tan, pasir halus (RM13 satu tan), pasir kotor (RM8 satu tan) dan batu (RM8 satu tan).
Sebelum itu harga harga pasir kasar di Kelantan RM12 satu tan.
Menteri Besar, Ustaz Datuk Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, kajian itu akan dibuat dalam tempoh sebulan bermula hari ini.
Katanya usaha tersebut dilakukan bagi menentukan harga pasir berpatutan serta memberi keuntungan kepada pengguna dan pengusaha.
“Kita mengambil pendekatan untuk membuat satu kajian terperinci dalam masa sebulan bagi menetapkan harga pasir.
“Dalam tempoh kajian ini pengusaha hendaklah menjual pasir pada harga pada tahun 2016 sebelum kenaikan berlaku,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Sebelum ini Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Kelantan mendakwa pasir yang dijual kini meningkat sekali ganda kepada RM260 bagi setiap 10 tan berbanding sebelum ini RM130.
REHDA bimbang kenaikan harga pasir boleh mendorong kepada peningkatan harga rumah.
Menteri Besar juga berkata keputusan untuk menangguh kenaikan harga pasir dibuat pada mesyuarat bersama Kelab Penyokong Kerajaan Kelantan (BBC) dan Pengarah Tanah dan Galian, Datuk Nazran Muhammad.
Ustaz Ahmad turut melahirkan rasa dukacita terhadap segelintir pengusaha pasir yang mengambil kesempatan menaikan harga bahan binaan tersebut.
Tahun lepas harga pasir bagi muatan lori enam tayar sekitar RM50 hingga RM80, namun ada pengusaha menaikkan sehingga sehingga lebih RM100. – HARAKAHDAILY 25/1/2017