Kelantan kekal larang premis jual vape

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan tidak akan menarik balik larangan mengeluarkan lesen premis vape sebagaimana diputus sebelum ini.

YB.Dato_Ab._FattahBagaimanapun Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata kelonggaran diberi kepada penjual vape sehingga akhir Januari 2016 bagi memindahkan peralatan vape.

“Memang kita kekalkan arahan yang dibuat sebelum ini cuma kita ada perbincangan dengan persatuan vape.

“Mereka menghantar surat meminta ditangguhkan arahan tersebut, tetapi mereka tidak menolak pengharaman atau tidak keluarkan lesen perniagaan vape di Kelantan,” katanya selepas perasmian penutup Seminar Perbandaran Islam Pencapaian MPKB BRI Berdasar Pelan Induk 2006-2015 di sini hari ini.

Seminar berkenaan dirasmikan Menteri Besar Ustaz Datuk Ahmad Yakob. Hadir sama wakil-wakil rakyat, Penyelia Dun, ahli-ahli majlis Pihak Berkuasa Tempatan dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam, Zamri Ismail.

Sebelum ini kerajaan Kelantan mengumumkan tidak akan mengeluarkan lesen premis vape berkuatkuasa 1 Januari ini.

Abdul Fattah juga berkata Persatuan Peniaga Vape memahami suasana yang berlaku sekarang.

“Apa yang penting kita adakan perbincangan. Januari ini kita laksanakan pemantauan bagi membolehkan peniaga memindahkan keluar barangan.

“Dalam tempoh itu tidak akan berlaku penyitaan lagi. Saya telah maklumkan kepada mereka dan membuat arahan kepada semua PBT,” katanya.

Beliau juga menjelaskan tidak berbangkit tempoh penguatkuasaan pengharaman premis vape dilanjutkan.

Kata beliau apa yang penting perbincangan dibuat bersama dengan memberi sedikit kelonggaran sehingga akhir Januari.

“Perbincangan dengan Persatuan Vape dibuat petang semalam. Kita bagi peluang kepada mereka memindahkan barangan vape,” katanya.

Beliau juga menolak kononnya penjual vape akan mengadakan demontrasi bagi membantah tindakan kerajaan negeri.

“Itu hanya spekulasi. NGO itu berdisiplin dan kita berbincang dengan baik. Kita akan selesaikan isu ini secara baik,” ujarnya.

(Visited 2 times, 1 visits today)

Add Comment