Sekali lagi Kelantan meneraju perubahan apabila muncul sebagai negeri pertama terlibat dalam perdagangan kredit karbon.
Memorandum Perjanjian telah ditandatangani oleh pihak Kerajaan Negeri yang diwakili YAB Menteri Besar sendiri, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Haji Ahmad Yakob dengan sebuah syarikat tempatan iaitu Climate Protector Sdn. Bhd.
Perjanjian ini antara lain memberikan hasil kepada Kerajaan Negeri sebanyak RM10 juta dalam tempoh kajian selama 2 tahun.
Perdagangan Kredit Karbon ini merupakan program jalinan kerjasama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB ) dalam usaha mengurangkan pengeluaran karbon daripada aktiviti pembalakan tidak terkawal di negeri-negeri membangun.
Melalui projek ini, tiada sebarang aktiviti pembalakan dan perlombongan dalam tempoh 30 tahun di kawasan Hutan Simpan seluas 396 ribu hektar. Ia merupakan projek pembangunan hutan lestari berstrategi serampang dua mata.
Selain menjana pendapatan dengan meningkatkan stok karbon di hutan hujan, ia sekaligus mampu melindungi dan memelihara hutan, flora dan faunanya.