Kelantan peneraju patuh syariah dalam sukan

KOTA BHARU – Kelantan akan menjadi peneraju dalam perubahan ke arah pematuhan syariah Islam dalam konteks sukan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat berkata, ia melibatkan dasar kerajaan negeri berhubung pematuhan menutup aurat membabitkan atlet.

Menurutnya, atlet akan diberi panduan untuk mengikut skop yang ditetapkan termasuklah dalam sukan renang.

“Ia bukan paksaan tetapi sekarang kita berada dalam fasa menonjolkan kelebihan pakaian menutup aurat dalam sukan, yang mana lama-kelamaan ia akan diterima secara keseluruhan.

“Kita juga merangka seminar kaedah pematuhan syariah di kalangan atlet yang turut disertai golongan pakar,” katanya.

Wan Roslan berkata, dakwaan pakaian menutup aurat akan memberi ketidakselesaan kepada atlet sekaligus menjejaskan pungutan pingat adalah tidak benar.

Sebaliknya beliau berkata, ia terbukti apabila ramai atlet menutup aurat berjaya merangkul emas ketika Sukan Sukma lalu.

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan Terengganu mengenakan syarat pakaian patuh syariah terhadap atlet di negeri itu.

Ia susulan tindakan Terengganu memperkenalkan konsep pemakaian patuh syariah, tahun ini.

Wan Roslan berkata demikian selepas Penyerahan Majlis Sukan Negeri (MSN) Kelantan kepada kerajaan negeri serta Penyerahan Tugas Pengerusi Majlis Sukan Negeri dan Majlis Jasamu Dikenang di Kota Bharu, semalam.

Wan Roslan berkata, Ahli Lembaga Pengarah akan dilantik dengan segera selaras dengan perancangan strategi MSN sebelum kejohanan sukan akan datang.

Kata beliau, antara penambahbaikan yang akan dijalankan melibatkan kerjasama kerajaan negeri, MSN persatuan dan atlet.

Berbekalkan kerjasama itu katanya, ia bakal menjadi formula untuk menghasilkan kejayaan sekaligus meningkatkan profesional sukan negeri ke peringkat lebih tinggi.– SINAR HARIAN 15/1/2019

https://www.sinarharian.com.my/article/7582/EDISI/Kelantan/Kelantan-peneraju-patuh-syariah-dalam-sukan

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
0Share on Google+
Google+
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Add Comment