Kota Bharu – Tahun 2017 bakal menyaksikan pertumbuhan gedung pasaraya apabila beberapa projek pasaraya baharu akan memulakan operasi masing-masing.
YAB Menteri Besar, Ustaz Dato’ Haji Ahmad Yakob penuh yakin bahawa minat pelabur tempatan dan luar negara melabur di Kelantan khususnya dalam sektor hartanah dan perdagangan adalah kerana kuasa beli yang tinggi di kalangan rakyat setempat.
“Mereka ini buat kajian. Kenapa mereka pilih Kelantan? Kerana kuasa beli itu besar. Siapa yang mempunyai kuasa beli yang besar? Anak-anak Kelantan di perantauan yang balik beli di Kelantan.
Saya yakin, semua balik berbelanja di Kelantan. Hantar duit kepada orang tua di Kelantan,” tegas Ustaz Ahmad.
Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan ribuan perantau anak-anak Kelantan di Majlis Mesra Aidilfitri Pimpinan Kerajaan Negeri Kelantan Bersama Anak-anak Kelantan di perantauan di Kompleks Kota Darulnaim.
Terdahulu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mohd Faudzi Che Mamat mengumumkan tiga pelabur gergasi telahpun diluluskan pelaburan dalam sektor perdagangan berskala besar.
Tiga pelaburan tersebut ialah dari Lulu Hypermarket, pasaraya besar halal terbesar yang berpangkalan di Dubai telahpun diluluskan pelan bangunan.
Dua lagi ialah Platinum Mall yang berkonsepkan gedung borong seperti Kenanga Wholesale di Kuala Lumpur dan Pasaraya Giant yang akan memulakan operasi hujung tahun ini di Bandar Baru Tunjong.
“Tiga tahun kebelakangan ini Kerajaan Negeri berjaya menarik pelabur-pelabur dari dalam dan luar negeri,” ujar Dato’ Mohd Faudzi.
Terbaharu, AEON Mall yang memulakan operasi April lalu di Lembah Sireh, Kota Bharu merupakan antara premis terbesar AEON di Malaysia. Pembangunan di Lembah Sireh mensasarkan 20 ribu peluang pekerjaan dengan syarat yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri mestilah 60% daripadanya diisi rakyat Kelantan.