KELANTAN SAMBUT BAIK PENDIRIAN PM PERTAHAN KHAT JAWI

Kita menyambut baik dan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada YAB Perdana Menteri TUN Dr Mahathir Mohamad dan YB Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malek atas ketegasan mempertahankan pengajaran khat jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Untuk kesekian kalinya juga kita melihat ketegasan Tun dalam isu-isu yang dekat dengan hati Umat Islam walaupun mendapat tekanan dan tentangan dari dalam PH sendiri khususnya pimpinan DAP.

Pelajaran khat jawi adalah usaha memperkasa dan menanamkan kecintaan terhadap tulisan jawi itu sendiri. Dalam hal ini keputusan Kementerian Pendidikan untuk memperkenalkan pengajaran khat ini patut dipuji. Hari ini tulisan jawi sudah semakin jauh dari masyarakat Malaysia amnya dan Melayu khususnya. Keputusan itu adalah tepat dan mesti disokong.

Bagi umat Islam, tulisan jawi bukan sahaja warisan Melayu dan tradisi bangsa yang mempunyai nilai seni yang tinggi, tetapi ia juga adalah syiar agama. Al-Qur’an diturunkan dalam bahasa Arab dan ditulis dengan tulisan yang kita panggil jawi ini. Tulisan jawi pernah mengangkat mertabat orang Melayu dalam bidang keilmuan suatu masa dahulu.

Melihat kembali pendirian DAP dalam isu-isu yang berbangkit sebelum ini, atau perkara dan dasar yang mereka perjuangkan, maka amat mudah sekali untuk kita memahami kenapa mereka menentang pengajaran khat jawi ini. Belum lagi reda isu gesaan Lim Kit Siang supaya pendakwah terkenal Islam, Dr Zakir Naik meninggalkan Malaysia, timbul pula penentangan pimpinan DAP terhadap pengajaran khat jawi sedangkan ianya telah menjadi keputusan kerajaan yang mereka sendiri menjadi sebahagian daripadanya. Mereka sudah menjadi terlalu vokal dalam isu yang melibatkan Islam. Apa sahaja isu yang terkait dengan Islam, pimpinan DAP terus sahaja memberikan pandangan balas mereka. Sepatutnya umat Islam tanpa mengira fahaman dan parti politik juga bersatu dalam isu yang melibatkan kepentingan Islam.

Kerajaan negeri Kelantan, bagi memperkasakan tulisan jawi, telah lama mewajibkan penggunaannya dalam beberapa perkara seperti tanda nama premis perniagaan dan papan-papan iklan. Malah minit mesyuarat exco juga ditulis dalam tulisan jawi. Manakala bagi menunjukkan solidariti kepada Dr Zakir Naik pula, kerajaan negeri Kelantan akan mengadakan road show Dr Zakir Naik di Kelantan bermula dari 7 sehingga 9 Ogos nanti. Penganjuran roadshow ini juga adalah sebagai sokongan kepada pendirian kerajaan Malaysia untuk tidak memenuhi permohonan ekstradisi oleh kerajaan India dan mempertahankan pendakwah ini.

Saya menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia untuk bersama sekurang-kurangnya pada program kemuncak roadshow ini iaitu himpunan raksasa di Stadium Sultan Muhammad ke 1V pada 9hb Ogos bermula dengan solat Maghrib. Kuliah Maghrib akan disampaikan oleh pendakwah terkenal Malaysia, Us. Azhar Idrus.

Terima Kasih.

YB Dato’ Dr. Mohamad Fadzli Hassan
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Kerajaan Negeri Kelantan.
(Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat)

Sumber: https://www.facebook.com/mohamedfadzli.hassan/posts/2586139974750695

 

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Add Comment