Kelantan sasar 2 juta pelancong Thailand

HATYAI: Kelantan mensasar dua juta pelancong dari Thailand berkunjung ke negeri tersebut sempena Tahun Melawat Kelantan 2016.

Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan, Mejar (B) Datuk Md Anizam Ab Rahman berkata, pelbagai usaha dilakukan bagi menarik lebih ramai pelancong Thailand ke Kelantan.

Katanya, kerajaan negeri mendapat kerjasama penggiat industri pelancongan bagi mempromosi Kelantan di negara tersebut.

“Sambutan Tahun Melawat Kelantan 2016 dilancar akhir tahun lepas. Hari ini kita melancarkan program di sini bagi mempromosi kepada rakyat Thailand supaya berkunjung ke Kelantan.

“Kita ingin menjemput rakyat di sini menyertai dan menyaksikan pelbagai program yang diadakan di Kelantan termasuk pesta wau antarabangsa, pameran kenderaan klasik dan pelbagai lagi,” katanya selepas merasmikan Festival Kelantan 2016 di sebuah pasar raya terkemuka di sini semalam.

Beliau juga berharap dapat mencapai sasaran dua juta pelancong Thailand berkunjung ke Kelantan memandangkan hubungan yang terjalin sejak sekian lama.

Pada program itu sebanyak 15 agensi dari Kelantan menyertai Festival Kelantan 2016 termasuk Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan, Perbadanan Muzium Kelantan, syarikat-syarikat perhotelan dan agensi pelancongan.

Turut hadir Timbalan Gabenor Wilayah Songkhla, Ekkarat Leesen, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Datuk Dr Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Fiessal dan Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Mohd Aidil Afizie Daud. – HARAKAHDAILY 18/1/2015

(Visited 1 times, 1 visits today)

Add Comment