KOTA BHARU: Cuaca di Kota Bharu agak cerah hari ini. Bagaimanapun jumlah mangsa banjir meningkat kepada 10,508 orang berbanding 5,075 orang semalam.
Kawasan yang paling terjejas jajahan Pasir Mas yang meliputi parlimen Rantau Parlimen di mana seramai 6,119 penduduk dipindahkan.
Menurut laporan ebanjir.kelantan mangsa paling ramai ditempatkan di pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan (SK) Rantau Panjang 2 iaitu seramai 1,422 orang dan SK Gual Tinggi (1,209 orang).
Begitu juga mangsa banjir di Kuala Krai juga mencatat peningkatan kepada seramai 1,491 orang berbanding 905 orang semalam. Paling ramai mangsa banjir dipindahkan di Kampung Bedal, Kampung Keroh dan Kampung Mial.
Jajahan Machang juga berlaku peningkatan mangsa banjir kepada 901 orang berbanding 424 orang semalam.
Jajahan Kota Bharu pula mulai dilanda banjir hari ini apabila penduduk di beberapa kampung termasuk Pendek, Ketereh, Peringat dan Badang dipindahkan.
Seramai 599 mangsa banjir ditempatkan di pusat pemindahan di lokasi terbabit.
Bagaimanapun di Tanah Merah berlaku sedikit peningkatan jumlah mangsa iaitu kepada 638 orang berbanding 567 orang semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan, Mumtaz Md Nawi berkata, kerajaan negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membantu mangsa banjir di jajahan-jajahan terlibat.
Katanya bantuan dalam bentuk keperluan asas diberi kepada mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan.
“Bantuan tersebut disalur JKM melalui peruntukan yang disediakan kerajaan negeri bagi tahun ini.
“Peruntukan bantuan bencana disediakan tahun ini sebanyak RM300,000 disalur kepada 45 kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun).
“Selain bantuan bencana alam, bantuan menyediakan keperluan asas di Pusat Pemindahan banjir juga diberi,” katanya di sini. – HARAKAHDAILY 4/1/2017