KOTA BHARU – Negeri Kelantan sentiasa menjadi rujukan kepada negeri lain hampir 33 tahun lalu berdasarkan beberapa perubahan yang dilaksanakan sejak menerajui negeri ini pada Oktober 1990.
Menurut Speaker DUN Kelantan, YB Dato’ Abdullah Ya’kub, kerajaan negeri sentiasa menitik berat aspek berkebajikan sebagai agenda utama dalam pembangunan negeri bermula dengan konsep Membangun Bersama Islam dan kini dimasyurkan dengan Merakyat Membangun Bersama Islam (MMBI).
“Negeri berkebajikan merupakan sebuah negeri yang mempunyai prinsip keadilan, kebajikan dan kesejahteraan sebagai asas pentadbiran, perundangan dan juga pembangunan.
Dasar bersama ini merentasi agama dan bangsa serta perlu dilaksanakan secara kolektif oleh semua portfolio,” ujarnya pada perasmian Festival Beliawanis Kelantan di Dataran Warisan Pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Sabtu lepas.
Terdahulu, Festival Beliawanis Kelantan bersempena Karnival Gegey Gegok Anok Mudo Kelate menerima kehadiran lebih 1,000 anak muda. Penampilan selebriti Khai Bahar memeriahkan lagi acara pentas.
Sementara itu, pelbagai acara menarik telah berlangsung, antaranya Girl Fun Run, Fun Ride Anok Mudo Kelate, Majlis Raikan Cinta Perdana, Gemo Dikir Anok Mudo Kelate, dan banyak lagi. Program berkenaan dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Negeri YB Wan Roslan Wan Hamat.
Ikuti berita dalam Buletin Darulnaim.
#ViraliyatBerita1ptg