Kelantan siap sedia hadapi banjir

KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan bersiap siaga untuk menghadapi musim tengkujuh dan bencana banjir yang akan berlaku bila-bila masa sahaja.

Menurut Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Faudzi Che Mamat, satu  jawatankuasa khas di bawah seliaan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan, Mumtaz Md Rawi akan memantau perkara ini dari semasa ke semasa.

“Menerusi jawatankuasa itu, kita turut menyelaraskan penglibatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam kerja-kerja bantuan.

“Selain mengadakan perbincangan dengan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), kita juga turut memanggil ketua jajahan bagi memastikan maklumat yang diberi sampai kepada masyarakat,” katanya ketika merasmikan program, Pelan Tindakan Banjir Perkhidmatan Dialisis Bagi Negeri Kelantan, di Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM).

Beliau berkata, sehingga kini seramai 4,269 anggota penyelamat yang terdiri daripada polis, bomba, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), JPAM, Rela, Kastam, Marin, Jabatan Pengairan dan Saliran, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia dan Briged Sukarelawan Bencana Negara bersiap sedia untuk penugasan ini.

“Sebanyak 773 lokasi dengan kapasiti muatan seramai 220,290  diwartakan sebagai pusat pemindahan. Malah, setakat ini, bekalan makanan juga telah dikumpulkan.

“Begitu juga dengan peruntukan untuk tahun ini turut meningkat berbanding tahun lalu.

“Dalam erti kata lain, kita sudah bersiap sedia dengan apa jua kemungkinan musim banjir pada tahun ini,” jelasnya.

Pada program berkenaan, Mohd Faudzi turut memperkenalkan sistem Advanced Dialysis Nephrology Application Network (ADNAN) bagi kegunaan Jabatan Kesihatan Negeri untuk seluruh pesakit dialisis .
Sistem yang digunakan ini adalah hasil kerjasama USM dan Universiti Teknologi Malaysia.

“Menerusi sistem ADNAN ini, pakar nefrologi dan pegawai perubatan dapat memastikan pesakit mereka mendapat rawatan yang cukup melalui data yang disimpan dalam ‘Wristband’.

“‘Wristband’ itu juga dikenali sebagai pengenalan diri kepada petugas penyelamat dalam mengenal pasti pesakit hemodialisis yang memerlukan rawatan.

“Saya yakin, sistem ini adalah pendekatan inovatif dalam usaha menyelamatkan pesakit ini. Saya berharap agar sistem ini dapat dikembangkan lagi dan diaplikasikan di seluruh negara,” katanya.

(Visited 64 times, 1 visits today)

Add Comment