KOTA BHARU: Kelantan menyokong perhimpunan khas bagi membela nasib malang dialami etnik Rohingya ekoran keganasan tentera Myanmar.
Anggota Exco Kerajaan Negeri Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata usaha itu perlu disokong kerana ia merupakan isu kemanusiaan sejagat.
“Ini adalah masalah kemanusiaan, isu penganiayaan terhadap manusia. Kerana itu saya berharap semua pihak tunjukkan solidariti kepada masyarakat Rohingya di atas apa yang berlaku,” ujarnya di sini.
Beliau ditemui selepas pelancaran buku Peranakan Cina Kelantan: Sintesis Cina Tanah Besar dan Melayu Tanah Melayu di sebuah hotel di sini semalam.Pelancaran buku itu disempurnakan Menteri Besar Ustaz Datuk Ahmad Yakob.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini memberitahu perhimpunan besar-besaran mengutuk kekejaman terhadap Rohingya akan diadakan 4 Disember ini.
Dr Fadzli juga berkata, seluruh masyarakat seharusnya menunjukkan solidariti kepada rakyat yang ditindas.
“Kes berkenaan lebih kurang sama yang telah menimpa terhadap rakyat Bosnia sebelum ini,” ujarnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi.
Beliau juga meluah rasa dukacita terhadap pemimpin Myanmar yang sebelum menerima Nobel Perdamaian, namun membiarkan kezaliman berlaku ke atas umat Islam di negara berkenaan.
Sehubungan itu beliau berharap rakyat Kelantan tanpa mengira bangsa, agama dan politik hadir pada perhimpunan menyokong etnik Rohingya. – HARAKAHDAILY 29/11/2016