KOTA BHARU – Susulan gempa bumi yang melanda Turki dan Syria pada 6 Februari, Kerajaan Negeri Kelantan telah memberi sumbangan berjumlah RM100 ribu khusus untuk membantu dan meringankan beban mereka yang terjejas.
Sumbangan bernilai RM50 ribu disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita YB Dato’ Mumtaz Md Nawi mewakili YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Menteri Besar Ahmad Yakob kepada Emir Salim Yuksel di pejabatnya di Kedutaan Republik Turki, Kuala Lumpur.
Manakala RM50 ribu lagi disampaikan Setiausaha Politik Menteri Besar Ustaz Asri Daud kepada wakil NGO Malaysia Aid4TurkiyeSyria merangkap Ahli Parlimen Kubang Kerian YB Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Dato’ Mumtaz yang juga Ahli Parlimen Tumpat turut menzahirkan simpati dan ucapan takziah kepada keluarga yang terkesan dalam tragedi tersebut.
“Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya ingin menyatakan kesedihan saya yang mendalam dan ucapan takziah kepada keluarga yang kehilangan orang tersayang dalam gempa beberapa minggu lalu. Tidak ada kata -kata yang dapat menggambarkan kesakitan dan kesedihan para ibu bapa yang kehilangan anak -anak mereka dan sebaliknya,” katanya.
Sebelum ini, Kerajaan Malaysia juga menyatakan solidariti dengan menyumbangkan sebanyak USD1 juta untuk rakyat Türki dan Syria yang terjejas dengan tragedi ini selain sumbangan RM20 juta daripada syarikat-syarikat korporat dan NGO.
Dalam pada itu, sebagai tanda solidariti rakyat, pasukan penyelamat dari seluruh Malaysia juga telah dihantar untuk memudahkan kerja-kerja mencari mangsa-mangsa yang hilang dan menghulurkan bantuan kemanusiaan.
Ikuti berita dalam Buletin Darulnaim.
#ViraliyatBerita1ptg