KELANTAN SUMBANG RM500,000 NAIK TARAF HRPZ II DAN PERALATAN PICK

oleh Norzana Razaly

KOTA DARULNAIM, 8 Jun: Kerajaan Negeri Kelantan menyumbang RM500,000 bagi menaik taraf sistem ‘electrophysiology study’ di Unit Kardiologi, Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Menteri Besar, YAB Dato’ Bentara Kanan Haji Ahmad Yakob menerusi kenyataan media berkata dengan sistem berkenaan, rawatan jantung khasnya perkhidmatan ‘electrophysiology’ kepada pesakit yang memerlukan dapat diberikan dengan cepat tanpa perlu dirujuk ke pusat rawatan di luar Kelantan.

“Dengan menaik taraf sistem tersebut diharap akan dapat mengurangkan kadar mortaliti dan morbiditi pesakit jantung”, katanya.

Di samping itu, Kerajaan Negeri turut menyumbangkan enam unit pendingin hawa kepada Pejabat Kesihatan Negeri untuk kegunaan pasukan bergerak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) peringkat Kelantan.

Dato’ Ahmad berharap sumbangan itu dapat membantu menambahkan keselesaan petugas barisan hadapan dalam usaha menyegerakan jumlah suntikan vaksin bagi mencapai imuniti berkelompok.

“Program suntikan vaksin secara ‘mobile’ itu akan bergerak ke kampung dan kawasan tumpuan orang ramai”, katanya selepas menyampaikan sumbangan tersebut kepada Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Dato’ Dr Zaini Hussin di pejabatnya di sini, pagi tadi.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, YB Dr Izani Hussin dan Pengarah HRPZ II, Dato’ Dr Selasawati Ghazali.

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Add Comment