KOTA BHARU: Kelantan merupakan negeri pertama di negara ini menyumbang kenderaan khas bagi mengangkutan orang kurang upaya (OKU) untuk mendapat rawatan di hospital.
Van berkenaan bernilai RM152,000 diserahkan kepada Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) hari ini.
Penyerahan tersebut disampaikan Menteri Besar, Ustaz Datuk Bentara Kanan Ahmad Yakob kepada Pengarah Kampus Kesihatan USM, Prof Dr Ahmad Sukari Halim.
Ustaz Ahmad berkata, kerajaan negeri merasa terpanggil bagi membantu memudahkan OKU mendapat rawatan di hospital.
“Ketika saya menjalani rawatan di hospital sebelum ini melihat OKU berdepan masalah untuk mendapat rawatan.
“Mereka datang lewat kerana tidak ada wang. Oleh itu dengan ada kemudahan van ini memudahkan mereka mendapat rawatan di hospital,” katanya selepas majlis penyerahan itu.
Dr Ahmad Sukari berkata, semua hospital amat memerlukan sebuah van bagi mengangkut pesakit dalam kalangan OKU mendapat rawatan di hospital.
Katanya, terdapat kira-kira 6,000 pesakit OKU menerima yang mendapat rawatan di Hosipital USM dan hanya 10 orang sahaja diberi rawatan dalam tempoh sehari.
“Kita fokuskan kepada OKU kurang berkemampuan dan benar-benar memerlukan sahaja,” kata beliau.
Sementara itu Menteri Besar juga berkata banjir yang berlaku akibat limpahan air hujan baru-baru ini berpunca sistem perparitan yang tidak sempurna.
Katanya juga Kelantan tidak mempunyai tempat takungan air yang sempurna bagi menampung jumlah hujan terutamanya musim tengkujuh.
“Kita akan berusaha membuat permohonan kepada Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi mengatasi banjir akibat saliran tidak sempurna.
“Pembinaan kawasan takungan air melibatkan kos yang tinggi termasuk pengambilan tanah,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 25/1/2017