Kelantan teliti usul Kongres Rakyat

KOTA BHARU: Menteri Besar menyifatkan resolusi Kongres Rakyat Kelantan memberi cadangan yang begitu penting bagi memperkemaskan lagi pentadbiran kerajaan negeri.

Ustaz Datuk Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata kerajaan negeri mengambil kira semua pandangan dilontar pembentang dan pembahas pada kongres tersebut.

Katanya segala cadangan itu akan dilihat berdasar kepada kesesuaian peraturan dan undang-undang yang ada di Kelantan.

“Ia seumpama juadah yang disediakan kepada kerajaan negeri. Jadi ia akan disesuaikan oleh kerajaan selaras dengan dasar Membangun Bersama Islam.

“Kita akan lihat secara terperinci agenda bertindak Kongres Rakyat Kelantan bagi membantu portfolio Exco yang ada sekarang,” katanya pada penutup Kongres Rakyat Kelantan di Kelantan Trade Centre, hari ini.

Hadir sama Speaker Dun Kelantan Datuk Abdullah Ya’kub, Pengerusi Kongres Nasional Mohd Azmi Abdul Hamid, timbalannya Mustapha Kamil Ayub, anggota-anggota Exco kerajaan negeri, wakil-wakil rakyat dan wakil NGO.

Sebelum itu beliau menerima Agenda Bertindak Rakyat Kelantan yang disampaikan Mustapha Kamil. Pembentang resolusi pula dilakukan Ketua Sekretariat Kongres Rakyat Zulkifli Mamat.

Pada kongres terbabit 10 wakil kluster yang terdiri daripada pembentang dan pembahas mengemukakan usul masing-masing.

Mustapha Kamil pula berkata bagi mempastikan kesinambungan pelaksanaan resolusi Kongres Rakyat Kelantan, suatu pelan tindakan dicadangkan dikenali sebagai Agenda Tindakan Rakyat Kelantan (ATRK).

Katanya, ATRK yang diperincikan dalam bentuk pelan tindakan strategik akan dilaksanakan bermula 2017 hingga tahun 2021.

“Untuk mempastikan tindakan merancang, melaksana dan memantau ATRK, maka satu sekretariat ATRK khusus akan diwujudkan dan diletak di bawah Sistem Pemantauan Pelaksanaan Projek Kerajaan Negeri Kelantan (SPARK),” katanya. – HARAKAHDAILY 29/12/2016

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Add Comment