KOTA BHARU – Lebih sedekad berbakti bersama Kontinjen Kelantan meninggalkan kesan yang cukup mendalam terhadap mantan Ketua Polis, Datuk Mazlan Lazim hingga mengundang perasaan sebak ketika kali terakhir berucap di hadapan anggota dan pegawainya, hari ini.
Beliau sudah 30 tahun berkhidmat dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan 13 tahun bertugas bersama anggota dan pegawai di negeri ini, manakala selebihnya berkhidmat di negeri luar daripada Kelantan.
Dalam ucapannya itu, beliau menyampaikan pelbagai amanah dan pesanan akhir kepada anggota serta pegawai dalam kontinjen negeri ini supaya terus fokus dalam usaha membanteras jenayah dan memberi berkhidmat tanpa henti kepada masyarakat.
“Pada kesempatan ini juga, saya memohon maaf kepada semua anggota dan pegawai yang berada di bawah jagaan saya selama saya bekerja, mungkin ada yang terguris hati dalam saya menegur ketika dalam tugasan seharian.
“Saya tidak berniat demikian dan tidak lain tidak bukan semua teguran itu dibuat demi pasukan,” katanya sebak.
Sebagai tugasan akhir beliau turut menyampaikan surat penghargaan kepada anggota dan pegawai yang cemerlang dalam perkhidmatan mereka. Mazlan dinaikkan pangkat sebagai Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan di Jabatan Perdana Menteri dan akan melaporkan diri ke Putrajaya esok.
Beliau sempat berkongsi tiga tugasan yang dirumuskan sebagai perkara paling mencabar yang dikendalikan ketika menjawat jawatan sebagai Ketua Polis iaitu, PRK Pengkalan Kubur, bencana banjir 2014 yang mengorbankan 13 mangsa dan PRK Dun Chempaka.
“Dalam keadaan kekangan logistik, pasukan ini dapat mengharungi semua keadaan ini dengan baik. Terlalu banyak yang dilalui di sini menyebabkan saya berat hati hendak meninggalkan Kelantan.
“Makanannya, orangnya, sudah mesra dengan diri saya menyebabkan pertukaran ini menyentuh perasaan,” katanya yang berasal dari Kedah.
Sepanjang menjawat jawatan itu, Kontinjen Kelantan juga berjaya mencapai KPI dengan penurunan kadar jenayah sebanyak 10 peratus termasuk pecah rumah, kecurian motosikal dan jenayah-jenayah berat hasil kerjasama gigih anggota dan pegawainya.
Trend berkenaan juga berterusan sehingga kini dengan catatan 2.2 peratus penurunan kadar jenayah setakat semalam.
Perbarisan semalam kemudiannya diteruskan dengan Acara Serah Terima Tugas antara beliau dan Datuk Ab Rahman Ismail sebagai Ketua Polis Kelantan yang baharu sambil disaksikan Pengarah Pengurusan PDRM Datuk Seri Zulkifli Abdullah.
Turut berlangsung Majlis Serah Terima Tugas Pengerusi Perkep antara Datin Anizah Musa kepada Datin Che Nat Hassan.
Ab Rahman berasal dari Bachok, Kelantan dan mula berkhidmat bersama PDRM sejak 1979. Sebelum bertukar ke Kelantan, beliau bertugas sebagai Timbalan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman.
“Saya akan meneruskan legasi yang ditinggalkan Datuk Mazlan dan akan terus menuntut daripada beliau dalam mengendalikan Kelantan bermula hari ini dan pada masa-masa akan datang,” katanya.[SINAR HARIAN]