KOTA BHARU: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Kelantan diarah tidak mengeluarkan sebarang lesen bagi menjual rokok elektronik (vape) di negeri itu.
Bagaimanapun keputusan sama ada vape boleh dijual atau tidak di Kelantan akan diputuskan pada mesyuarat khas Jawatankuasa Kerajaan Tempatan 16 Disember ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata sebarang keputusan muktamad akan dibuat pada tarikh berkenaan.
Bercakap kepada media selepas mesyuarat Exco hari ini katanya, kerajaan negeri terlebih dahulu perlu mendapat maklumat dan pandangan berkaitan kewajaran atau sebaliknya vape beroperasi di negeri itu.
“InsyaAllah kita akan dapatkan maklumat dari semua PBT laporan berkaitan vape khususnya dari aspek undang-undang.
“Jadi buat masa sekarang kerajaan negeri tidak meluluskan sebarang lesen penjualan vape di negeri ini,” katanya.
Menurutnya kerajaan negeri mengambil keputusan itu berikutan aduan awam yang menyifatkan vape memberi kesan buruk kepada masyarakat.
Beliau juga berkata sebelum ini Kelantan tidak membenarkan penjualan shisha memandangkan terdapat kesan negatif.
Katanya penjualan vape di Kelantan sekarang beroperasi tanpa mendapat kebenaran PBT.
Malah beliau berkata terdapat PBT merampas penjualan vape kerana beroperasi secara haram.
“Setakat ini kita belum membuat sebarang penyitaan terhadap penjualan vape sebagaimana shisha memandangkan keputusan berkaitannya hanya akan diketahui 16 Disember ini.
“PBT juga meminta peniaga menurunkan iklan atau papan tanda perniagaan vape,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/12/2015