oleh Norzana Razaly
Kerajaan Negeri Kelantan bersyukur ke hadrat Allah SWT dan berterima kasih kepada Kerajaan Malaysia di atas penghormatan menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) ke 22 menerusi penganjuran bagi edisi 2024.
Demikian kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Negeri Kelantan, YB Ustaz Wan Roslan Wan Hamat selepas menerima keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma 2020 di Putrajaya pada 20 Februari 2020 yang dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
“Alhamdulillah. Saya ucapkan terima kasih kepada YB Menteri kerana memberi laluan kepada Kelantan dan mengotakan janjinya kepada YAB Menteri Besar dalam kunjung hormatnya ke Kelantan pada 17 Febuari 2019.
“Ini kali pertama Kelantan menjadi tuan rumah dan kita menyambut baik hasrat Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk membina kemudahan demi pembangunan sukan di Kelantan”, ujarnya.
Tambahnya lagi, kelulusan Kelantan sebagai tuan rumah edisi 2024 akan turut diperincikan menerusi perbincangan lanjut di antara kerajaan pusat dan negeri.
YB Menteri Belia dan Sukan juga dijangka akan berjumpa YAB Menteri Besar Kelantan dalam masa terdekat.
Manakala YAB Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad pula bakal meletakkan batu asas pembinaan Madinah Riadah (Sport City) di Bukit Merbau, Pasir Puteh, Kelantan kelak.- UPKN KELANTAN 20/2/2020
Sumber: https://www.facebook.com/upknkelantan/posts/2606508999583451