KOTA BHARU: Kerajaan negeri meluluskan beberapa cadangan bagi membangunkan projek tenaga boleh diperbaharui (RE) di Kelantan.
Antaranya projek hidro kuasa kecil dan ladang suria terapung.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata projek tersebut dapat memberikan sumbangan kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
Selain itu dapat merangsang ekonomi penduduk setempat.
Oleh itu katanya anak syarikat Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Kelantan Utilities Mubaarakan Holdings Sdn Bhd diberi tanggungjawab membangun projek RE dan kecekapan tenaga (energy efficiency).“Tenaga yang diperbaharui merupakan industri yang sedang bekembang pesat. Ia mendapat banyak promosi, sokongan dan insentif daripada kerajaan Persekutuan.
“Pada tahun 2014, jumlah kapasti RE di seluruh dunia banyak bersumber kuasa hidro,” katanya ketika merasmikan Ekspo Hijau Kelantan kali ke-3 di KB Mall, malam tadi.
Turut hadir anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Che Abdullah Mat Nawi, Pengarah Urusan Might Technology Nurturing Sdn Bhd, Datuk Nik Ahmad Faizul Abdul Malek.
Mohd Amar juga berkata selain hidro tumpuan turut diberi kepada tenaga solar dan angin.
Katanya, kerajaan negeri mengalu-alukan pelabur untuk mengadakan kerjasama dengan Kelantan Utilities Mubaarakan projek tenaga boleh diperbaharui dan kecekapan tenaga.
Ekspo Hijau disertai 26 peserta mewakili sektor awam dan swasta yang mempamerkan produk dan perkhidmatan berkaitan penggunaan teknologi hijau. Ia akan berakhir esok.
Sempena perasmian itu juga Mohd Amar menyampaikan basikal elektrik kepada Hotel Grand River View dan Pusat Penerangan Pelancongan (TIC). – HARAKAHDAILY 22/11/2016