1. Alhamdulillah, bersyukur kehadrat Allah kerana pada petang tadi saya berserta YAB Perdana Menteri Malaysia dan Timbalan Perdana Menteri dapat menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian-Perjanjian Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Bekalan Air Negeri Kelantan. Penstrukturan ini telah dilaksanakan di tujuh buah negeri sebelum ini iaitu Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Perlis, Perak, Pulau Pinang dan Selangor. Dengan berlangsungnya perjanjian ini, insya-Allah permasalahan air bersih dapat ditangani dengan baik di Kelantan.
2. Bagi memastikan operator-operator industri air mendapat manfaat dan kemudahan kewangan untuk membiayai infrastrukturan dan pembangunan bekalan air, Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) telah ditubuhkan oleh Kerajaan Persekutuan untuk menangani masalah-masalah di negeri-negeri tersebut.
3. Proses untuk migrasi air ini bermula pada era Almarhum Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat lagi, semasa beliau menjawat jawatan Menteri Besar dan disambung pula oleh kepimpinan saya. Melalui politik matang yang berkonsepkan “Negeri Berkebajikan” yang Kerajaan Kelantan amalkan, program migrasi ini dapat dilaksanakan dengan jayanya untuk meningkatkan kualiti bekalan air kepada rakyat Kelantan. Inilah tujuan besar daripada migrasi air selain ianya dapat memastikan bekalan air tidak terputus dan bersih sepanjang masa termasuklah dapat meningkatkan liputan air terawat di Kelantan.
4. Pada tahun 2001, Kerajaan Negeri Kelantan mendapat pinjaman RM600 juta daripada Kerajaan Persekutuan untuk tempoh 15 tahun, namun keperluan sebenar untuk jangka masa tersebut adalah sebanyak RM2 bilion. Sebelum itu, segala pembiayaan pembangunan air di Kelantan oleh Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) dibantu sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri. Pada masa ini, Kelantan sebenarnya memerlukan lebih RM5 bilion bagi membangunkan bekalan air “Lost Development Years” bagi memenuhi permintaan pengguna yang meningkat 3 peratus setiap tahun.
5. Maka, dibawah rancangan migrasi air ini, semua pinjaman Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan yang melibatkan pembangunan dan pembelian aset bagi pengurusan air akan diambil alih dan dipindahkan kepada PAAB. PAAB kemudiannya akan memajakkan aset tersebut kepada AKSB selama 45 tahun dengan sewa pajakan tertentu. Pengurusan air masih dibawah bidangkuasa AKSB bersama-sama PAAB.
6. Berdasar kepada penstrukturan baru ini, insya-Allah infrastruktur bekalan air berdasarkan pelan perniagaan yang diluluskan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) akan dibiayai melalui PAAB dengan kos pembiayaan yang lebih rendah. Manakala Kerajaan Persekutuan akan membiayai Projek Sumber Air secara geran tanpa apa-apa bayaran balik.
7. Peruntukan kewangan ini diperlukan demi untuk merealisasikan Rancangan Pembangunan Hiliran Bekalan Air Negeri Kelantan yang sekian lama dipohon daripada Kerajaan Persekutuan oleh AKSB melalui Kerajaan Kelantan. Walaupun peruntukan disalurkan dalam tiga Rancangan Malaysia lalu, namun masih banyak lagi peruntukan kewangan yang diperlukan bagi melestarikan perkhidmatan bekalan air Negeri Kelantan.
8. Dengan termeterai Perjanjian-Perjanjian Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Bekalan Air ini, maka peruntukan kewangan bagi Program Pembangunan Bekalan Air dimasa hadapan akan lebih terjamin dan komitmen kepada kedua-dua Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri akan lebih kukuh dalam menjamin perkhidmatan bekalan air ditingkatkan dalam masa terdekat.
9. Kerajaan Negeri Kelantan berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana bersetuju meluluskan Rancangan Migrasi kepada Kelantan setelah AKSB membuat permohonan sejak 2008 lalu. Perjuangan Kerajaan Negeri Kelantan selama ini untuk meningkatkan kualiti bekalan air bersih demi untuk kemudahan rakyat alhamdulillah diberi kerjasama oleh Kerajaan Persekutuan. Terima Kasih.
USTAZ DATO’ HAJI AHMAD YAKOB
Menteri Besar Kelantan
13 Zulhijjah 1437/14 September 2016