SENTUHAN HIDAYAH MENERUSI IBRAH PARA ANBIYA’ DAN SOLEHIN MELALUI JUZ 2⃣
“KEPAKARAN PRASYARAT KEPIMPINAN”
Apabila kita meneliti ibrah daripada kehidupan para Anbiya’ dan solehin, didapati terlalu banyak pengajaran yang boleh dicontohi dalam kehidupan seharian. Apatah lagi dalam sesebuah pentadbiran negara memerlukan kepada petunjuk Syarak supaya kepimpinan yang memegang tampok pemerintahan tidak melakukan perbuatan yang sewenang-wenangnya.
Semasa Thalut dipilih menjadi raja, pembesar ketika itu tidak senang terhadapnya kerana beliau tidak memiliki harta dan bukan daripada kalangan bangsawan. Nabi mereka telah menegaskan bahawa pemilihan Thalut adalah berasaskan kepakaran yang dimiliki serta mempunyai perwatakan panglima yang berani. Allah SWT telah merakamkan hal ini melalui firman-Nya:
وَقَالَ لَهُمۡ نَبِیُّهُمۡ إِنَّ ٱللَّهَ قَدۡ بَعَثَ لَكُمۡ طَالُوتَ مَلِكࣰاۚ قَالُوۤا۟ أَنَّىٰ یَكُونُ لَهُ ٱلۡمُلۡكُ عَلَیۡنَا وَنَحۡنُ أَحَقُّ بِٱلۡمُلۡكِ مِنۡهُ وَلَمۡ یُؤۡتَ سَعَةࣰ مِّنَ ٱلۡمَالِۚ قَالَ إِنَّ ٱللَّهَ ٱصۡطَفَىٰهُ عَلَیۡكُمۡ وَزَادَهُۥ بَسۡطَةࣰ فِی ٱلۡعِلۡمِ وَٱلۡجِسۡمِۖ وَٱللَّهُ یُؤۡتِی مُلۡكَهُۥ مَن یَشَاۤءُۚ وَٱللَّهُ وَ ٰسِعٌ عَلِیمࣱ
“Dan Nabi mereka pula berkata kepada mereka: Bahawasanya Allah telah melantik Thalut menjadi raja bagi kamu. Mereka menjawab: Bagaimana dia mendapat kuasa memerintah kami sedang kami lebih berhak dengan kuasa pemerintahan itu daripadanya, dan ia pula tidak diberi keluasan harta kekayaan? Nabi mereka berkata: Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Thalut) menjadi raja kamu dan telah mengurniakannya kelebihan dalam lapangan ilmu serta kepakaran dan kegagahan tubuh badan. Dan (ingatlah), Allah jualah yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas rahmat-Nya lagi meliputi ilmu-Nya”. [Al-Baqarah: 247]
Ketika pemerintahan Thalut, Nabi Daud A.S yang masih remaja turut menyertai peperangan dalam menentang musuh mereka. Nabi Daud A.S telah berjaya membunuh musuh yang digeruni iaitu Jalut lalu diangkat menjadi pembantu setia Thalut dan akhirnya ditabal sebagai raja. Nabi Daud juga mempunyai kepakaran dan ilmu pengetahuan yang tinggi dalam mentadbir negara disamping mukjizat kenabian anugerah Allah. Firman Allah SWT:
فَهَزَمُوهُم بِإِذۡنِ ٱللَّهِ وَقَتَلَ دَاوُۥدُ جَالُوتَ وَءَاتَىٰهُ ٱللَّهُ ٱلۡمُلۡكَ وَٱلۡحِكۡمَةَ وَعَلَّمَهُۥ مِمَّا یَشَاۤءُۗ وَلَوۡلَا دَفۡعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعۡضَهُم بِبَعۡضࣲ لَّفَسَدَتِ ٱلۡأَرۡضُ وَلَـٰكِنَّ ٱللَّهَ ذُو فَضۡلٍ عَلَى ٱلۡعَـٰلَمِینَ
“Maka mereka dapat mengalahkan tentera Jalut dengan izin Allah, dan Nabi Daud (yang turut serta dalam tentera Thalut) berjaya membunuh Jalut. Dan sesudah itu Allah memberikan kepadanya kuasa pemerintahan dan hikmah (pangkat kenabian) serta diajarkannya apa yang dikehendaki-Nya. Dan kalaulah Allah tidak menolak setengah manusia (yang ingkar) dengan setengahnya yang lain (yang beriman) nescaya rosak binasalah bumi ini; akan tetapi Allah sentiasa melimpah kurnia-Nya kepada sekalian alam.” [Al-Baqarah: 251]
Oleh yang demikian, proses memilih kepimpinan mestilah diteliti supaya orang yang dilantik adalah ahli atau pakar dalam bidang yang diceburi atau ditaklifkan. Orang yang diberi jawatan tetapi kurang ilmunya malah gemar merancang dan mengkritik, akan menyebabkan kehancuran sesebuah pentadbiran lebih daripada mencapai kebaikan.
USTAZ DATO’ BENTARA KANAN MENTERI BESAR KELANTAN
02 Ramadhan 1440H
Ikuti juga info semasa Menteri Besar Kelantan di:
?FB MB:
https://www.facebook.com/DatoAhmadYakob
?Twitter MB:
https://www.twitter.com/DatoAhmadYakob
?IG MB:
https://www.instagram.com/DatoAhmadYakob
?Telegram MB:
https://www.t.me/DatoAhmadYakob
⭕Aplikasi MB: http://nak.la/MBKelantan
Sumber: https://www.facebook.com/DatoAhmadYakob/posts/1016191775237606