Kerajaan Berkat Rakyat Sepakat

YAB Menteri Besar Kelantan ketika menyampaikan Amanat Sempena Tahun Baharu 2016 kepada seluruh penjawat awam pada pagi tadi dengan membawakan tema ‘Kerajaan Berkat Rakyat Sepakat’. Berikut adalah teks amanat YAB Menteri Besar dalam Majlis tersebut:

Alhamdulillah bersyukur kehadrat Allah kerana dengan limpah keizinan-Nya, dapat sama-sama kita berada di Majlis Amanat Khas tahun baharu 2016 ini. Saya merakamkan penghargaan kepada semua hadirin serta hadirat yang telah memberikan komitmen tinggi untuk menjayakan majlis yang sangat bermakna pada pagi ini.

Tema sempena Amanat Tahun Baharu 2016 ialah “Kerajaan Berkat Rakyat Sepakat”. Tema ini diterapkan bagi menggarapkan lagi usaha Kerajaan Negeri dalam memacu agenda pembangunan negeri secara lebih efisyen selaras dengan tuntutan Syariat dan dalam kerangka membina kesatuan dikalangan penjawat awam Negeri Kelantan.

Bagi mencapai tema ini, Kerajaan Negeri akan terus berpegang kepada teras-teras berikut:-

Pertama : Memperkasa Pembangunan Insan Berteraskan Syariat Islam;
Kedua :Merancakkan Pembangunan Ekonomi Rakyat Dengan Memanfaatkan Sumber Setempat;
Ketiga : Membela Golongan Yang Tidak Berkeupayaan;
Keempat : Memperteguhkan Keupayaan Institusi Dan Badan Pelaksana;
Kelima : Mengukuhkan Kewangan Negeri.

mbBagi mendokong teras-teras tersebut, penjawat awam dalam pelbagai jawatan dan jabatan mestilah bekerja secara bertungkus-lumus bersandarkan strategi-strategi berikut :

i. Mempergiatkan aktiviti dakwah dan bina insan bagi melahirkan rakyat yang bermotivasi tinggi, dinamik dan berbakat serta mengamalkan nilai-nilai hidup Islam yang syumul.
ii. Merancakkan aktiviti ekonomi rakyat dengan membuka lebih banyak peluang dalam bidang-bidang yang bersesuaian dengan bakat dan persekitaran mereka bagi meningkatkan taraf hidup rakyat.
iii. Memastikan kemudahan infrastruktur dan utiliti asas dapat dibangunkan dan diselenggara dengan baik.
iv. Mewujudkan urustadbir yang baik dengan mengutamakan ketelusan dan kecekapan menerusi pentadbiran yang berlandaskan Ubudiyyah, Masuliyyah dan Itqan.
v. Memastikan dasar perbelanjaan berhemah diteruskan dengan jayanya supaya setiap perbelanjaan dibelanjakan mengikut keperluan dan keutamaan sebenar rakyat tanpa ada ketirisan.
vi. Memastikan hasil dan tunggakan hasil Kerajaan Negeri dapat dipungut, termasuk sumber-sumber hasil baru.

Pembinaan syaksiah dan jati diri menjadi agenda utama Kerajaan Kelantan. Kerajaan memahami betapa pentingnya memiliki sumber manusia dan tenaga insan yang berkualiti tinggi. Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri akan terus memberi penekanan bagi mempastikan langkah-langkah penambahbaikan pentadbiran Agama Islam dilaksanakan secara tersusun dan mengikut perancangan yang ditetapkan. Usaha kepelbagaian aktiviti, pengajian tafakuh, pengendalian pelbagai kursus bina insan dan lain-lain aktiviti hendaklah diperkukuhkan bagi memantapkan kefahaman dan penghayatan Islam di kalangan masyarakat.

Setelah selesai mengkanunkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (1993) pindaan 2015 pada tahun lepas, penumpuan pada tahun 2016 ialah bagi melengkapkan Prasarana Material Pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah II tersebut untuk tujuan pelaksanaan. Alhamdulillah, pada 16 rabiul Awwal 1437 bersamaan 28 Disember 2015 yang lepas, saya telah merasmikan Penubuhan Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Kelantan. Maka, dengan tertubuhnya Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri ini, ianya akan memacu satu entiti utama dalam mewujudkan proses keadilan berdasarkan hukum Syarak dan juga peruntukan undang-undang. Usaha Kerajaan Negeri untuk melaksanakan Kanun Jenayah Syariah telah kita persiapkan semua sekali, baki lagi hanya berada di peringkat Kerajaan Persekutuan untuk memberi laluan dan kebenaran dalam melaksanakannya. Alhamdulillah, setakat ini kita telah berjaya membuat persiapan dengan sempurna sebelum berakhir tahun 2015 ini, mudah-mudahan usaha kita dipermudahkan untuk fasa pelaksanaan nanti.

MB_2016_2Adalah menjadi agenda utama Kerajaan Negeri untuk mempastikan pendidikan agama terus berkembang. Untuk itu, Yayasan Islam Kelantan (YIK) perlu lebih berusaha untuk mempertingkatkan kualiti pendidikan agama dan melahirkan modal insan kelas pertama dari kalangan lepasan sekolah-sekolah YIK. Sehingga kini, Kerajaan Negeri telah mempunyai 89 buah sekolah dibawah kelolaan YIK dan jumlah sekolah Maahad tahfiz Walqiraat/Maahad Tahfiz Sains adalah sebanyak 6 buah, bermakna kita sudah mempunyai peluang yang sangat luas dalam membangunkan pelapis di negeri ini. Pada 14 Rabiul Awwal 1437 bersamaan 26 Disember 2015 tahun lepas, kita telah mengadakan Majlis Graduasi kepada seramai 375 orang pelajar dan jumlah ini adalah teramai setakat ini yang membuktikan kejayaan YIK selangkah demi selangkah dalam membina pelapis Ulama Huffaz Quran di Kelantan.

Dikesempatan ini juga, saya mengambil peluang merakamkan penghargaan kepada YIK yang turut menerima Anugerah Kecemerlangan Pengurusan Kewangan berdasarkan Indeks Akauntabiliti bagi tahun 2014. Ini bermakna, YIK telah melepasi audit berkaitan ketirisan seperti penyelewengan, perbuatan melanggar perundangan, pelanggaran standard operasi dan pelanggaran etika. Tahniah saya ucapkan, ini termasuklah beberapa jabatan dan agensi lain yang turut menerima penarafan empat bintang tersebut iaitu PMBK, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Majlis Daerah Ketereh Perbandaran Islam, Yayasan Kelantan Darulnaim, Majlis Sukan Negeri Kelantan dan Majlis Daerah Dabong. Saya berharap supaya lebih banyak jabatan dan agensi kerajaan negeri mendapat penarafan serta pengiktirafan dalam pelbagai sistem penarafan dimasa-masa akan datang. Kerajaan Negeri sangat berbangga apabila Pejabat Tanah dan Jajahan Tanah Merah dalam Penarafan Bintang (SSR) Pentadbiran Tanah Bagi Tahun 2014, telah berjaya memperolehi 5 bintang dengan penilaian tempat ke-2 daripada 33 Pejabat Tanah dan Jajahan di Semenanjung Malaysia.

Dalam memperkembangkan agenda pendidikan ini, Kerajaan Negeri telah melancarkan Penubuhan Institut Latihan Perguruan Kelantan (ILPK) pada 26 Muharram 1437 bersamaan 8 November 2015 tahun lalu. ILPK ditubuhkan bagi mendokong cita-cita pendidikan baru dunia Islam yang bukan sahaja mengembalikan pendidikan Islam tradisi kepada kedudukan yang kompetetif, juga mengembalikan ilmu-ilmu profesional ke dalam kerangka Islam. Maka, dengan adanya ILPK ini sudah tentu kita dapat menerapkan kefahaman yang aplikatif terhadap dasar Merakyatkan Membangun Bersama Islam kepada semua guru-guru YIK yang kini telah mencecah 2,800 orang.

MB_2016_3Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk menubuhkan Jabatan Pembangunan Islam (JPI) di semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sebagai salah satu langkah memantapkan peranan PBT dalam melaksanakan dasar Membangun Bersama Islam. Jabatan Pembangunan Islam ini berperanan untuk memperkemaskan dan mempergiatkan kerja-kerja dakwah dan amal kebajikan melalui program-program seperti kuliah agama, tazkirah, usrah, program motivasi, termasuk menyalurkan kebajikan kepada warga yang kurang bernasib baik dan lain-lain program. Insya-Allah mulai tahun ini, jawatan Pegawai Pembangunan Islam di kesemua PBT akan di isi sepenuhnya, ini menjadikan PBT sebagai satu lagi agensi pelaksana dan agensi pemantau dalam perkara berkaitan pembangunan Islam melalui peraturan-peraturan PBT.

Kerajaan Negeri akan terus memberi penekanan dalam mempastikan setiap rakyat dapat menikmati kemakmuran negeri melalui pelbagai program pembangunan yang dirancang. Pembangunan infrastruktur asas juga tetap menjadi keutamaan Kerajaan Negeri kerana ianya pemangkin kepada pembangunan sosio-ekonomi rakyat. Oleh yang demikian, Jabatan Kerja Raya Negeri (JKR) hendaklah merancang dan memperluaskan sistem rangkaian jalan negeri dengan mempersiapkan sepenuhnya dalam tahun ini termasuk juga projek menggantikan jambatan yang sempit. Dengan terbinanya rangkaian jalan-jalan baru ini, ianya dijangka dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di jalan-jalan utama sedia ada dan memberi keselesaan kepada pengguna.

Sementara di bawah program migrasi dan penstrukturan semula urusan bekalan air di Negeri Kelantan, adalah diharapkan dapat beroperasi secara rasminya pada tahun ini agar perkhidmatan Air Kelantan Sendirian Berhad (AKSB) menjadi lebih baik dan cekap. Bagi kawasan kampung dan desa yang tidak diliputi oleh bekalan air AKSB, projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) hendaklah disalurkan dengan mengambil kira kesusahan penduduk yang jauh di pedalaman. Diatas inisiatif untuk menyelesaikan permasalahan rakyat, maka pada 9 Rabiul Awwal 1437 bersamaan 21 Disember 2015 tahun lalu, Kerajaan Negeri telah mengadakan Perjanjian Bekalan Air Terawat Secara Pukal antara AKSB dan Syarikat Air Terengganu Sendirian Berhad (SATU). Usaha ini dibuat adalah semata-mata untuk memenuhi keperluan bekalan air penduduk yang berada di sempadan Jajahan Pasir Puteh Kelantan dan Terengganu terutamanya bagi menampung keperluan air bersih di Bukit Yong dan Tok Bali yang mempunyai masalah tekanan air dan kualiti. Pembelian air terawat daripada SATU adalah bersifat jangka pendek sahaja sementara menunggu siapnya projek menaiktaraf Loji Rawatan Air Merbau Chondong Machang siap sepenuhnya.

Kerajaan Negeri Kelantan juga mengutamakan sektor pertanian dan ia merupakan sektor terpenting dalam menjana ekonomi Negeri Kelantan. Oleh itu, bagi meningkatkan daya saing sektor pertanian, maka penjawat awam hendaklah terus memberi galakan dan mempergiatkan usaha untuk meningkatkan pelaburan dalam aktiviti pertanian termasuk memberi khidmat dalam pembangunan pertanian serta pengeluaran bahan makanan berkualiti di negeri ini termasuk menjayakan konsep ‘Bertani Satu Ibadah’. Jabatan Pertanian Negeri dan agensi-agensi berkaitan hendaklah menyusun dan melaksanakan pelbagai program pembangunan pertanian secara lebih sistematik. Dengan menggunakan pendekatan Sistem Pengembangan Tekno Pertanian (SPTP) sebagai kaedah penyampaian perkhidmatan pengembangan, semua program seharusnya dapat dirangka dengan rapi dan membolehkan penglibatan dari semua golongan sasar. Program pembangunan tanah-tanah terbiar juga hendaklah terus diberi penekanan.

Sementara bagi pembangunan usahawan industri kecil dalam bidang pemprosesan makanan atau industri asas tani, kursus jangkamasa singkat dan jangkamasa panjang hendaklah diadakan secara berkala. Khidmat bimbingan terus serta bimbingan dalam pembungkusan dan pemasaran produk hendaklah diberikan secara berterusan supaya ianya lebih berdaya saing di pasaran global. Penjawat awam yang terlibat dalam pembangunan usahawan, perlu lebih komited dalam melahirkan usahawan yang berkualiti tinggi dan berdaya saing melalui Program Usahawan Berdikari, Program Pembangunan Kemahiran Usahawan, Projek Infrastruktur Usahawan dan Program Pembangunan Usahawan Tani.

Disamping itu, Kerajaan Negeri akan membina dan membaiki pasar dan gerai di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Kelantan bagi membantu usahawan-usahawan kecil dan sederhana memasarkan produk-produk perniagaan mereka. Dengan usaha ini, peluang pekerjaan dapat dibuka secara lebih luas kepada rakyat. Kerajaan Negeri juga berusaha dengan memperuntukkan sejumlah bajet dalam membangunkan Usahawan Muda. Dalam menjayakan projek ini, pihak Urusetia Belia dan Sukan mulai tahun 2016 ini telah dipertanggungjawabkan untuk menguruskan dana usahawan muda. Melalui dana ini, Urusetia Belia dan Sukan akan merangka secara tersusun kurus-kursus usahawan yang mensasarkan anak-anak muda yang berminat untuk muncul sebagai usahawan berjaya dan tidak bergantung semata-mata hanya kepada bantuan Kerajaan Negeri.

Tahun 2016 ini ialah Tahun Melawat Kelantan, maka segala program dalam bentuk Infrastruktur pelancongan, produk-produk pelancongan dan acara-acara yang menarik hendaklah ditambahbaik berbanding sebelum ini. Semua jabatan, agensi dan PBT perlu memberi tumpuan khusus kepada industri ini, dengan menanamkan cakna ‘Think Tourism’ iaitu mengambil kira faktor pelancongan dalam setiap projek yang akan diadakan. Pihak Berkuasa Tempatan perlu menjaga produk-produk pelancongan yang ada dalam kawasan masing-masing dengan mempertingkatkan tahap kebersihan dan kecerian. Kesedaran perlu diberikan kepada semua pihak agar lebih serius untuk menjaga kebersihan sesuai dengan agenda Kerajaan Negeri yang Membangun Bersama Islam. Memandangkan Negeri Kelantan akan menerima pelancong yang lebih ramai pada tahun ini, kita mesti mengambil peranan secara pro-aktif dalam mengutamakan kebersihan disemua lokasi di Kelantan.

Saya berharap, usaha untuk meningkatkan kemasukan pelancong antarabangsa berasaskan penampilan negeri Kelantan sebagai hub-pelancongan Islam, warisan, budaya dan kesenian digerakkan secara tersusun. Program-program penghayatan Islam yang sememangnya menjadi agenda utama Kerajaan Negeri, secara tidak langsung juga mampu menjadi produk pelancongan yang berdaya tinggi. Saya turut berharap agar selepas ini lebih banyak lagi tempat-tempat yang berpotensi dapat diketengahkan sebagai destinasi pelancongan. Kerajaan Negeri juga berhasrat untuk merealisasikan satu lagi warisan tamadun Islam yang sangat gemilang dalam sesebuah Kerajaan Islam terdahulu iaitu pembangunan dalam bidang astronomi. Untuk itu, sebuah Balai Pencerapan atau Pusat Astronomi sedang diusahakan penubuhannya di Pantai Mek Mas.

Sesuai dengan motto Kerajaan Negeri hari ini ‘Keberkatan, Kemakmuran, dan Kebajikan’, penjawat awam hendaklah menggalas agenda utama Kerajaan Negeri untuk terus membantu golongan dhaif dan miskin, orang kelainan upaya, armalah dan warga emas melalui program pembelaan rakyat miskin, program Al-It’am (bantuan bekalan beras), bantuan baja, program kesihatan rakyat miskin, program inisiatif Kelantan bebas asap rokok (IKBAR) dan terkini tidak membenarkan penjualan vape, semuanya adalah bagi meningkatkan tahap kesihatan rakyat Kelantan. Saya menggesa agar program seumpama kempen, kursus, seminar, karnival dan sebagainya wajar diadakan secara komprehensif dan berkala serta di optimakan, guna mempertingkatkan kesedaran rakyat tentang peri-penting cakna kesihatan dan alam sekitar.

Berkenaan dengan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), suatu gabungan antara NGO yang wujud di negeri Kelantan ini belum dapat direalisasikan sepenuhnya sebagai sebuah gabungan yang kuat, mampu bersuara dan menjadi pasukan check and balance yang benar-benar berkesan dalam usaha bersama memperkasakan pentadbiran Kerajaan Negeri. Kita tidak lupa bagaimana besarnya peranan dan semangat hulur tangan yang tinggi ditunjukkan oleh NGO sewaktu bah besar yang melanda negeri ini pada akhir tahun 2014. Seharusnya semangat ta’awun dan kesukarelawan yang ditunjukkan oleh NGO-NGO ini terus disuburkan meliputi semua aspek. Saya ucapkan tahniah kepada portfolio yang telah menganjurkan Persidangan Badan-Badan Bukan Kerajaan Kelantan (SIDANG 2015) yang telah disertai oleh 45 buah NGO yang diadakan pada September tahun lalu. Persidangan sebegini perlu diteruskan pada masa akan datang kerana ia adalah forum terbaik untuk pihak NGO menyalurkan sebarang idea dan sumbang saran dalam membangunkan negeri ini.

Dalam sektor pembangunan belia dan sukan negeri, kerajaan Negeri terus memberikan fokus kepada pembangunan rohani tanpa mengenepikan agenda kesukanan yang menjadi tumpuan utama golongan muda. Melalui Urusetia Belia dan Sukan (U-Bes) yang telah ditubuhkan semenjak 10 tahun yang lalu, Kerajaan Negeri telah merangka pelbagai program bagi mempastikan agenda pembangunan yang merangkumi aspek jasmani dan rohani tidak terabai. Justeru, melalui peruntukan yang telah ditambah kepada RM5.5 juta berbanding RM4.4 juta pada tahun 2015, tumpuan yang lebih akan diberikan kepada pembangunan rohani ke arah mempersiapkan generasi muda menjadi pewaris kepimpinan negeri suatu hari nanti.

Untuk tahun 2016, U-Bes telah dipertanggungjawabkan untuk menggarapkan program bersepadu dan menyeluruh sehingga ke setiap segmen anak muda. Program-program yang bersifat flagship U-Bes selama ini seperti Liga Elit Dun akan diteruskan dengan memasukkan penghayatan menutup aurat dan kesedaran beragama kepada para pemain. Saya difahamkan, pada tahun ini U-Bes akan melahirkan satu lagi pasukan iaitu U-Bes FC yang akan bersaing di Liga Malaysia dan dijangka akan membuat penampilan di Liga FAM Malaysia untuk kali pertama pada tahun 2016 dengan kerjasama daripada Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB – BRI). Ini adalah satu alternatif kepada pasukan The Red Warriows (TRW) yang diminati oleh seluruh lapisan masyarakat Kelantan, tahniah saya ucapkan.

Bagi memberi pengiktirafan kepada golongan wanita pula, khususnya yang banyak memberi sumbangan kepada pembinaan keluarga dan masyarakat negeri ini, Kerajaan Kelantan telah meletakkan aspek kebajikan kepada golongan wanita sebagai salah satu teras dalam pentadbiran negeri. Sebagai pengiktirafan kepada semua suri rumah tangga di Negeri Kelantan, Kerajaan Negeri telah mengisytiharkan bermula pada tahun ini, bahawa pada hari sabtu akhir bulan Ogos setiap tahun, Kerajaan Negeri akan menyambut Hari Suri Rumah peringkat Negeri Kelantan. Kerajaan Negeri melalui Urusetia Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Kelantan (UPWKK) telah melancarkan satu laman web iaituwanitakelantan.com bagi menjadi agen penerangan kepada Kerajaan Negeri untuk mengembangkan lagi usaha memartabatkan wanita Kelantan sehingga ke arena antarabangsa.

Bagi tahun 2016, Kerajaan Negeri melalui UPWKK akan menganjurkan Persidangan Wanita Nusantara yang dirangka sebagai satu platform membincangkan isu-isu wanita secara global. Persidangan ini adalah diharapkan dapat dijayakan sepenuhnya kerana ia sangat penting khasnya untuk perkongsian pintar dalam memperkasakan kepimpinan wanita dan menyelesaikan permasalahan serta isu-isu utama yang timbul dalam masyarakat hari ini khususnya bagi kaum wanita. Selain pemerkasaan golongan wanita, saya turut berharap UPWKK dapat merangka serta menjayakan Dasar Kanak-Kanak dan Penjagaan Kanak-Kanak di Kelantan. Ini adalah bagi memastikan kelahiran generasi yang mempunyai pegangan aqidah Islam yang teguh dengan penyediaan pendidikan dan pemantauan bermula dari awal proses tumbesaran kanak-kanak.

Kerajaan Negeri turut mengutamakan masyarakat bukan Islam sebagaimana masyarakat Islam yang lain, tidak ada perbezaan antara satu sama lain bahkan Islam mengiktiraf setiap manusia tanpa mengira etnik. Kepelbagaian dan perbezaan agama dan etnik bukanlah faktor untuk berpecah-belah dan bermusuhan. Seharusnya kita saling kenal-mengenal dan membantu antara satu sama lain agar kedamaian dan kemakmuran hidup dapat dicapai dengan sejahtera di Kelantan. Kerajaan Kelantan, mengambil pendekatan yang amat inklusif dan meraikan kepelbagaian etnik dan agama yang ada, demi untuk menghasilkan suasana perpaduan yang aman. Kerajaan Negeri dalam usaha meluaskan kebajikan kepada masyarakat bukan Islam ini, telah menyalurkan skim-skim kebajikan Kerajaan Negeri kepada golongan miskin daripada kalangan mereka.

Sementara dalam memajukan usaha pelaburan, Invest Kelantan Berhad telah ditubuhkan bagi menarik pelaburan dalam dan luar negeri di samping bertindak sebagai fasilitator bagi merealisasikan sesuatu bentuk pelaburan untuk menjana ekonomi negeri. Invest Kelantan ini akan berperanan sebagai Pusat Sehenti atau One Stop Centre utama bagi pelaburan di Negeri Kelantan. Semua maklumat mengenai peluang pelaburan di Negeri Kelantan, jabatan serta agensi kerajaan dan usahawan Industri Kecil Sederhana (IKS) akan diselaraskan agar dapat menghasilkan manfaat pelaburan yang lebih tersusun dan efektif. Invest Kelantan juga akan menjadi perunding dan pemudah cara bagi membantu pelabur-pelabur dari dalam atau luar negara. Dengan nilai utama Invest Kelantan iaitu ‘Tepat, Cepat Dan Mesra Pelabur’, diharapkan akan menjayakan usaha besar menjana ekonomi negeri dan seterusnya merancakkan pembangunan negeri dengan lebih tersusun.

MB_2016_4Pelan Strategik Ekonomi Negeri Kelantan Tahun 2016 – 2025 akan turut dilancarkan pada tahun ini manakala Perbadanan-Perbadanan dan Agensi-Agensi Negeri turut disusun bagi menyelaraskan bidang fokus utama serta mengelakkan pertindihan fungsi dan peranan. Saya juga berharap syarikat-syarikat GLC dapat meningkatkan pelaburan dalam penyelidikan dan inovasi. Pendekatan ini sesuai untuk meningkatkan produk-produk terbaharu GLC bagi meningkatkan daya saing GLC. Pihak GLC hendaklah menumpukan kepada industri yang boleh menjana keuntungan tinggi di samping memberi impak besar kepada kepentingan ekonomi rakyat.

Kerajaan Negeri juga sentiasa menghargai sokongan dan komitmen kakitangan sektor awam dan sumbangan mereka dalam pembangunan negeri. Beberapa program transformasi untuk pemantapan pentadbiran telah berjaya diperkenalkan malah mendapat pengiktirafan dari pihak Kerajaan Persekutuan. Transformasi perkhidmatan awam bukan sahaja perlu dilaksanakan di dalam persekitaran pejabat, bahkan yang lebih penting, ia dapat dirasakan oleh rakyat yang turut menjadi ‘stakeholder’ kepada jabatan-jabatan Kerajaan Negeri.

Oleh itu, setiap anggota perkhidmatan awam negeri perlu bersedia dan turut menyumbang ke arah peningkatan prestasi dan produktiviti kerja dalam usaha memenuhi kehendak rakyat selaku pelanggan utama kerajaan. Kes-kes yang bercanggah dengan etika pentadbiran malah bercanggah dengan syariat Islam seperti ketirisan, cuai amanah, melanggar etika, bersubahat dan mendedahkan rahsia kerajaan mesti dielakkan dan sifar di Kelantan sesuai dengan negeri yang Membangun Bersama Islam.

Kecanggihan sistem teknologi maklumat dan komunikasi pada hari ini antara faktor yang perlu diambilberat oleh pihak yang diberi tanggungjawab menjaga kerahsiaan dan keselamatan dokumen Kerajaan Negeri. Rahsia kerajaan adalah suatu perkara yang perlu dijaga dengan baik, bukan boleh dijual beli dan di sebarluaskan kepada pihak yang tidak bertanggungjawab.

Selain itu, saya turut berharap agar kerenah birokrasi dikurangkan atau ditiadakan sebaik-baiknya, bagi memastikan para pelanggan yang berurusan dengan pihak Kerajaan Negeri boleh berhubung secara terus tanpa menggunakan orang tengah. Apabila wujudnya pihak ketiga, kebarangkalian terjadi atau berlakunya rasuah di antara pelanggan dan kakitangan perkhidmatan awam adalah tinggi dan ini mesti dielakkan. Pihak kakitangan Kerajaan Negeri juga perlu peka dengan aduan rakyat dan memberikan keutamaan bagi menyelesaikan setiap masalah yang dibangkitkan tanpa mengira kedudukan mereka.

Saya berharap segala agenda yang dilakukan adalah semata-mata untuk kepentingan Kerajaan Negeri bagi mencapai sepenuhnya keberkatan dalam semua aspek untuk jangka masa 25 tahun akan datang. Kerajaan Negeri telah melalui pelbagai rintangan dalam tempoh suku abad dan semoga Kelantan pada jangka masa 25 tahun berikutnya, insya-Allah akan dilimpahi keberkatan hasil daripada pemantapan pegangan agama dan pemelbagaian gerakan dakwah serta diperkukuhkan dengan kecekapan jentera pentadbiran awam beraras tinggi.

Kemakmuran di negeri ini juga akan terserlah melalui pembangunan ekonomi dan pelaburan serta kerancakan pembangunan infastruktur dan fizikal di samping sikap penyatuan yang padu ditunjukkan oleh rakyat Kelantan pada ketika itu. Terima kasih kepada semua yang telah menjayakan pembangunan Kerajaan Negeri dan teruskan usaha ini sehingga Allah mengurniakan keberkatan, kerahmatan dan kemenangan yang besar suatu hari nanti.

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
0Share on Google+
Google+
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Add Comment