Kerajaan Kelantan Proaktif Dalam Pembangunan ICT

KOTA BHARU – Kerajaan Negeri sentiasa mengambil perhatian yang serius dan mengambil peluang daripada perkembangan sains, teknologi dan ICT bagi memastikan Negeri Kelantan tidak ketinggalan dalam aspek ekonomi digital dan pembangunan teknologi.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Dato’ Hassan berucap mewakil Menteri Besar pada Karnival Sains dan Teknologi Kelantan 2.0 di UTC Kelantan pagi ini.

Katanya, Kerajaan Negeri telah mengambil tindakan yang proaktif bagi memastikan perkembangan teknologi dan pembangunan ICT di Kelantan bergerak maju ke hadapan melalui penubuhan agensi sehenti ICT Negeri Kelantan iaitu Kelantan ICT Gateway Sdn. Bhd.

Kerajaan berharap Kelantan ICT Gateway dapat memainkan peranan dengan lebih berkesan dalam memastikan perkembangan dan pembangunan industri ini memberi manfaat besar kepada rakyat dan negeri seluruhnya.

“Kerajaan Negeri juga mengalu-alukan kerjasama daripada pihak swasta dalam membangunkan teknologi baru, inovasi, dan ICT di negeri ini. Kita yakin bahawa teknologi yang baik akan membawa manfaat yang besar kepada negeri dan dapat memberi pulangan dan penjimatan kepada operasi dan pentadbiran kerajaan, selain pihak swasta juga dapat berkongsi teknologi dan inovasi baru dengan masyarakat.

Bergerak ke hadapan, Kerajaan Negeri sentiasa menyambut baik dan menyokong usaha Kerajaan Persekutuan dalam menggalakkan perkembangan dan memajukan teknologi,” katanya.

Tambahnya, Kerajaan Kelantan menyambut baik langkah Kerajaan Persekutuan dalam menggalakkan penggunaan tenaga solar sebagai sumber tenaga baru melalui dua dasar baharu yang akan diperkenalkan sebagaimana yang disebut oleh Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim di Parlimen pada Oktober lalu.

“Dalam hal ini, kerajaan berharap agensi seperti PKINK dan PMBK dapat meneroka peluang dalam penjalanan sumber tenaga baru melalui projek ‘Solar Farm’ di tanah-tanah milik kerajaan.

Di samping itu, Kerajaan Negeri melalui jawatankuasa teknologi hijau telah menubuhkan satu jawatankuasa pemandu pelan induk pembangunan mampan bagi memastikan kelestarian pelbagai inisiatif dan projek pembangunan secara menyeluruh di Negeri Kelantan melibatkan aspek ekonomi, sosial dan alam sekitar melalui aplikasi teknologi hijau. Inisiatif dan perancangan bangunan pintar dan bandar pintar (Smart Building dan Smart City) mestilah direalisasikan.

Katanya lagi, kerajaan juga melihat usaha ke arah kecekapan tenaga boleh diteroka dan dilaksanakan oleh agensi-agensi Kerajaan Negeri seperti pemasangan lampu atau peralatan lain yang cekap tenaga di bangunan-bangunan milik kerajaan.

“Pembangunan teknologi hijau bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata, kerajaan adalah pemangkin industri hijau dengan menyediakan dasar dan insentif bagi menggalakkan pertumbuhan dan kita menyeru pihak swasta turut terlibat dalam berkongsi kepakaran dan modal serta mencipta inovasi dan teknologi untuk pembangunan negeri.

Kita sedang menuju ke arah era revolusi perindustrian 4.0, perubahan sikap dalam kalangan rakyat amat perlu serta pengetahuan yang tinggi dalam dunia perniagaan dan keusahawanan. Program-program penggalakan, latihan dan seminar berkaitan teknologi dan ICT mesti diadakan secara berterusan,” katanya.

Tambahnya lagi, Kerajaan Persekutuan menjangkakan Malaysia akan menjadi satu daripada destinasi pilihan utama dalam industri berteknologi tinggi dan disenaraikan 30 tempat teratas global innovation index menjelang 2025, kerana itu Kerajaan Negeri mesti bergerak seiring dan bergerak ke hadapan, mesti berubah ke arah ini dan tidak mahu ketinggalan dalam pendigitalan dalam aspek ekonomi sosial dan pembangunan.

Hadir sama Speaker DUN, Dato’ Haji Abdullah Ya’kub, ADUN Wakaf Bahru, Rosli Abdullah, Ketua-ketua Jabatan dan Pegawai-pegawai Negeri. – UPKN KELANTAN 29/11/2018

(Visited 1 times, 1 visits today)

Add Comment