KELANTAN PROAKTIF TEROKAI POTENSI TENAGA SOLAR

editor2

oleh Norzana Razaly

KOTA BHARU – Kerajaan Negeri Kelantan proaktif menyahut pengumuman Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) untuk meningkatkan saranan tenaga boleh diperbaharui bagi gabungan tenaga daripada dua peratus kepada 20 peratus termasuk penjanaan kuasa hidro berskala besar bagi tempoh 2025 hingga 2030.

MESTECC dijangka menggalakkan lebih banyak projek tenaga suria pada masa akan datang bagi memenuhi permintaan tenaga yang semakin meningkat kerana potensi membangunkan projek hidrokuasa berskala besar terhad.

Menyedari potensi ini, Kerajaan Negeri telah melantik Kelantan Utilities Mubaarakan Holdings Sdn Bhd (KUM) sebagai Rakan Strategik bagi membangunkan industri teknologi hijau di Kelantan sekaligus bertanggungjawab membantu menyediakan Pelan Induk Pembangunan Mampan Negeri Kelantan yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

Inisiatif pertama KUM ialah menjalinkan kerjasama dengan Syarikat Air Kelantan Berhad (AKSB) yang bercadang untuk memasang sistem solar di loji rawatan air (LRA) dan medan telaga milik AKSB. Bagi menjayakan usaha ini, KUM dan AKSB bersama Gading Kencana Sdn Bhd (Gading Kencana) sedang mengkaji LRA dan medan telaga yang sesuai untuk pemasangan solar panel ini.

Satu perjanjian persefahaman (MOU) telah dimeterai pada 29 Syawal 1440 H bersamaan 3 Julai 2019 bagi mengesahkan jalinan kerjasama antara KUM yang diwakili oleh Pengarah Eksekutifnya, Haji Abdul Rashid Mohd Yusoff dengan Pengarah Urusan Gading Kencana, Dato’ Ir. Muhamad Guntor Mansor Tobeng dalam menjalankan aktiviti pemasangan sistem solar di 40 premis kerajaan dan bangunan komersil di negeri Kelantan.

Perjanjian itu disaksikan oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan, YB Dato’ Hj. Mohd Amar Abdullah dan Setiausaha Kerajaan Negeri, YB Dato’ Hj. Nazran Muhammad serta Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur dan Utiliti,YB Dato’ Sr. Hj. Azmi Mohd Nor.

Pengurus Kanan Kumpulan KUM, Haji Mahadi Mokhtar memaklumkan tujuan utama pemasangan panel solar ini adalah untuk mengurangkan bil elektrik yang tinggi di LRA dan medan telaga AKSB kerana industri tenaga boleh diperbaharui (RE) akan menyaksikan pertumbuhan dalam segmen solar pada 2019 berikutan tender ladang suria skala besar (LSS) 3. LSS3 serta mekanisme pemeteran tenaga bersih (Net Energy Metering (NEM)) yang dipertingkatkan dan perjanjian bekalan untuk program RE, Supply Agreement for Renewable Energy (SARE) akan memacu pertumbuhan industri suria di Malaysia.

“Salah satu faktor pertimbangan untuk mempromosi penerimaan RE ialah jualan kadar/kWh yang lebih tinggi untuk mengeksport tenaga boleh diperbaharui akan menggalakkan pemasangan solar. Pada masa ini RE mewakili 2% daripada jumlah campuran tenaga negara. Bagi mencapai sasaran 20%, sebanyak 3,991MW (kira-kira 4GW) kapasiti tenaga baru diperlukan untuk ditambah kepada sistem bekalan elektrik negara” katanya.

“Dianggarkan sebanyak 7.8MWp kapasiti akan dipasang di loji rawatan air serta medan telaga milik AKSB yang akan memberikan penjimatan bil elektrik kepada AKSB dalam anggaran RM4 juta setahun bagi 19 loji berdasarkan tarif kategori ditetapkan.

“Projek ini turut membuka peluang pekerjaan kepada 240 rakyat tempatan sepanjang aktiviti pemasangan, pentauliahan serta penyelenggaran sistem solar pada peringkat awal dan dijangka akan bertambah ke fasa akan datang” tambahnya lagi.

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Next Post

ROYALTI: TUNGGU TINDAKAN LANJUT PEGUAM NEGARA

Oleh: Muhammad Arif Ismail KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan masih lagi menunggu tindakan lanjut Pejabat Peguam Negara menyelesaikan isu teknikal berkaitan penarikan balik saman kes royalti petroleum. Timbalan Menteri Besar Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, kerajaan negeri sedang menunggu tindakan lanjut Pejabat Peguam Negara. “Ia merupakan perkara teknikal terakhir, jadi harap mereka […]

Subscribe US Now