KERAJAAN KELANTAN SEMARAKKAN RAMADAN BANTU OKU

oleh Norzana Razaly

KOTA DARULNAIM – Program Semarak Ramadan anjuran Kerajaan Negeri Kelantan di bawah Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita bersama Majlis Persefahaman Pertubuhan OKU Kelantan (MPPOK) bertujuan menzahirkan kecaknaan dan keprihatinan kerajaan negeri terhadap kebajikan dan kesejahteraan golongan kurang bernasib baik.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, YB Dato’ Hajah Mumtaz Md Nawi, kerajaan sentiasa prihatin dan memahami keadaan mereka yang terkesan khususnya golongan OKU.

“Pada tahun ini, sebanyak 950 hamper makanan berupa kurma, biskut raya, minuman, beras dua Gantang Baghdad dan duit raya diserahkan kepada wakil setiap persatuan OKU berlainan kategori untuk disampaikan kepada OKU miskin seluruh Kelantan. Saban tahun, Kerajaan Negeri Kelantan memperuntukkan sebanyak RM100 ribu untuk diagihkan kepada hampir 1,000 OKU miskin seluruh negeri”, katanya.

Beliau juga memaklumkan, agihan sumbangan 1900 kampit beras Segantang Baghdad adalah hasil kutipan dana Infaq Beras Hari Kebajikan Negeri Kelantan (HKN) yang dijadualkan berlangsung Mac lalu tetapi terpaksa ditangguhkan akibat penularan wabak COVID-19.

“Agihan sumbangan kali ini berbeza kerana terpaksa berdepan dengan situasi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan akibat penularan pendemik Covid-19 ketika ini.

“Kerajaan Negeri sedar dan sangat memahami keperluan dan kesukaran OKU apatah lagi ketika dalam situasi yang mencabar sekarang, dengan bantuan dan sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban dan mengukir keceriaan untuk mereka menjelang Aidilfitri tidak lama lagi, “ujarnya semasa menyampaikan ucapan kepada wakil-wakil persatuan OKU yang menerima sumbangan pada 12 Mei semalam.

(Visited 9 times, 2 visits today)

Add Comment