KOTA BHARU – Kerajaan negeri kini dalam usaha ke arah melaksanakan cadangan membina Akademi al-Quran untuk orang kurang upaya (OKU) terutama yang cacat penglihatan.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Kelantan, Mumtaz Md Nawi berkata, usaha berkenaan sudah pun dibentangkan dalam sidang Dun dan masih membuat kajian untuk pelaksanaannya.
“Kerajaan negeri kini sedang mengkaji dan setakat ini kita lihat Yayasan Islam Kelantan (YIK), walaupun tanpa kelas khas, tetapi sudah berjaya menerusi kelas pintar OKU sebagaimana adanya Faiz Ibrahim dan Mohd Qayyim Nizar Sarimi.
Mumtaz berkata, pada masa ini, terdapat enam jilid al-Quran, tiga jilid untuk mu’jam dan tiga jilid Braille dalam bahasa Arab, jadi beliau berharap akan ada inisiatif untuk persatuan itu menterjemahkan tulisan Braille berkenaan dalam bahasa Melayu.
“Kerajaan negeri juga sudah mengadakan perbincangan dengan banyak pihak termasuk badan bukan kerajan (NGO), Jabatah Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheik), Majlis Agama Islam dan Adat Isitiadat Kelantan (Maik) supaya inisiatif bagi membuka peluang kepada universiti.
“Contohnya Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), mereka ada pelajar yang mahir Braille untuk menjalankan kajian dan kaedah yang lebih terperinci bagi menjayakan agenda ini, sebab terdapat ramai golongan cacat penglihatan, tapi kita mahu mereka bukan sekadar boleh baca al-Quran, tapi faham tafsir,” katanya.
Dalam masa yang sama, Mumtaz turut memberi sokongan terhadap World #QuranHour dan mencadangkan supaya persatuan membawa ahlinya untuk membawa al-Quran Braille dibacakan di Masjid Muhammadi pada 9 Zulhijah nanti.
“Saya cukup menghargai usaha Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (YWUI) kerana menganjurkan program penyatuan umat melalui gelombang bacaan al-Quran secara serentak dalam masa satu jam,” katanya.- SINAR HARIAN 22/8/2017