oleh Che Maziah Mat
KOTA BHARU – Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Khas Negeri Kelantan (JKKN) Kali ke 15, menetapkan garis panduan pelaksanaan ibadah korban secara keseluruhan adalah selaras dengan garis panduan yang dikeluarkan oleh kerajaan persekutuan. Garis panduan adalah tertakluk kepada 3 lokasi. Antaranya adalah rumah sembelihan, masjid atau surau serta kawasan lapang, awam juga persendirian.
Daging korban disaran untuk dibuat agihan terus kepada penerima yang berhak dengan mengelakkan sebarang aktiviti keraian, dan hanya majlis keluarga sahaja dibenarkan. Waktu operasi bagi pelaksanaan aktiviti ibadah korban adalah dari jam 7.00 pagi sehingga 6.00 petang sahaja. Petugas mestilah tidak melebihi 14 orang bagi binatang ternakan dan 2 orang bagi ruminan kecil (kambing/biri-biri). Perincian pelaksanaan akan dikeluarkan oleh Pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).
Dalam tempoh PKPP ini juga, hampir semua aktiviti sosial, pendidikan, keagamaan, perniagaan, sektor ekonomi dan sebagainya akan beroperasi semula secara berperingkat dengan pematuhan sepenuhnya kepada SOP. Antara yang diberi kelonggaran kepada pengusaha stesyen minyak, dibenarkan dibuka sehingga pukul 12 malam sahaja. Walaubagaimanapun, bagi mana-mana pengusaha stesyen minyak yang perlu operasi 24jam perlu lah membuat permohonan kepada Jawatankuasa Kerja Keselamatan (Khas Negeri) untuk mengkaji kesesuaian serta keperluan.
Selain itu, bagi kedai makan, restoran, Foodcourt serta Food truck pula, diberi masa tambahan 1 jam operasi sehingga 11.30 malam, kecuali Pasaraya yang masih dikekalkan operasinya dari 10 pagi sehingga 10 malam. Orang ramai dinasihatkan supaya terus mematuhi setiap garis panduan yang telah di tetapkan sepanjang tempoh PKP ini.