Kerajaan negeri bantu empat peniaga malang

webmaster

sinar harianTANAH MERAH – Nasib malang empat mangsa kebakaran yang memusnahkan bangunan lot kedai tiga pintu di Jalan Jedok, dekat sini, 21 April lalu, mendapat perhatian kerajaan negeri.

Kebakaran itu turut memusnahkan sebuah kenderaan pacuan empat roda, sebuah motosikal dan empat kereta, menyebabkan kerugian hampir suku juta ringgit.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan Kelantan, Datuk Abdul Fattah Mahmood yang melawat mangsa terbabit meminta mereka bersabar atas ujian itu.

“Saya mohon mereka menerima ujian ini dengan reda serta bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa.

“Sabar dan berdoa semoga ALLAH menggantikan apa yang hilang dalam kebakaran ini dengan nikmat lebih baik,” katanya selepas melawat lokasi kebakaran.

Kebakaran kira-kira jam 8.15 malam itu memusnahkan sebuah bengkel kereta, sebuah kedai pakaian terpakai dan dua kedai makan.

Pada lawatan itu, Abdul Fattah menyampaikan sumbangan untuk mangsa daripada Tabung Serambi Mekah di bawah kerajaan negeri dan Tabung Kecaknaan Rakyat Tanah Merah, Majlis Daerah Tanah Merah (MDTM).

Abdul Fattah berkata, mangsa terbabit diharap terus berusaha gigih membangunkan semula perniagaan masing-masing dan pada masa sama tidak lupa terhadap hak ALLAH.

“Minta peniaga berusaha lebih lagi dan dalam kita mencari rezeki, hak ALLAH terutama pembayaran zakat dan sebagainya perlu dijaga,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan negeri sentiasa prihatin kebajikan rakyat terutama mereka yang ditimpa musibah seperti kebakaran dengan menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban rakyat terlibat.

-sinarharian

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Next Post

Pemandu kereta sewa boleh jadi duta

KOTA BHARU – Kerajaan negeri memberi galakan terhadap pemandu kereta sewa di Kelantan menerusi bantuan lebih RM13,000, malah meletakkan harapan mereka boleh menjadi duta pelancongan negeri. Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan, Datuk Md Anizam Abd Rahman berkata, pemandu kereta sewa yang ada di Kelantan adalah pewaris sejak dulu dan […]

Subscribe US Now