Kerajaan negeri hulur sumbangan

TANAH MERAH – Nasib malang mangsa kebakaran di Kampung Bukit Merah, dekat sini, yang tinggal sehelai sepinggang dalam kejadian 30 Oktober lalu dapat pembelaan apabila kerajaan negeri tampil menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mangsa.

Bantuan melalui Tabung Serambi Makkah di bawah kerajaan negeri itu disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan Kelantan, yang juga Adun Bukit Panau, Datuk Abdul Fattah Mahmood.

Abdul Fattah berkata, sumbangan itu bagi membantu meringankan sedikit sebanyak beban mangsa yang hilang tempat tinggal dan kerugian harta benda dalam kejadian berkenaan.

Menurutnya, bantuan itu sebagai tanda simpati kerajaan negeri yang sentiasa prihatin dengan setiap musibah menimpa rakyat dan komited untuk membantu meringankan beban mangsa.

“Kerajaan negeri sama sekali tidak mengabaikan kesusahan dihadapi rakyat yang ditimpa musibah dan sentiasa berusaha membantu meringankan beban mereka.

“Saya harap mangsa tabah dan sabar menghadapi musibah ini serta menerimanya dengan reda sebagai ujian daripada ALLAH,” katanya selepas menyampaikan bantuan.

Bantuan disampaikan Abdul Fattah kepada ketua keluarga terbabit, Che Mustapha Yaacob dengan disaksikan oleh Penggawa Dun Bukit Panau, Razmi Che Husin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.15 petang, 30 Oktober lalu, rumah didiami Che Mustapha bersama isteri, seorang anak dan dua cucu musnah terbakar dipercayai akibat dipanah petir.

Sementara itu, Che Mustapha berkata, walaupun masih bersedih dengan kejadian tersebut, dia berterima kasih dan bersyukur atas bantuan yang diberikan kerajaan negeri.

Katanya, dia sekeluarga tinggal sehelai selepas gagal menyelamatkan barangan dalam rumah itu termasuk wang tunai hasil perniagaan kedai dedak yang diusahakannya.

“Tidak ada apa-apa barangan berharga dapat diselamatkan kerana ketika kejadian, saya berada di kedai dan hanya isteri saya berada di rumah,” katanya.

Tambahnya, dia masih perlukan bantuan daripada semua pihak untuk memulihkan kembali kehidupan mereka terutama bagi membina semula rumah yang musnah.

[Sinar Harian 15 November 2015]

(Visited 8 times, 1 visits today)

Add Comment