KERAJAAN NEGERI MENGUTAMAKAN KESEJAHTERAAN RAKYAT

webmaster

oleh Nik Azman Nik Mustafa

KOTA BHARU – Kesejahteraan dan kebajikan untuk rakyat adalah merupakan keutamaan dasar pentadbiran kerajaan negeri selama tiga dekad dasar “Membangun Bersama Islam”.

Menteri Besar, YAB Dato’ Bentara Kanan Ustaz Dato’ Ahmad Yakob berucap ketika menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2021 Perhimpunan Penjawat Awam Negeri Kelantan yang bertemakan”Kebersamaan Demi Rakyat” di Dewan Jamuan Utama, Kompleks Kota Darulnaim hari ini.

Berhubung perkara tersebut katanya, pelbagai inisiatif diperkenalkan oleh kerajaan negeri terus dapat dimanfaatkan oleh rakyat contohnya dalam usaha membantu rakyat dan sektor-sektor ekonomi yang terjejas akibat kesan Covid-19 yang berjumlah RM 27 juta.

“Bagi tahun 2021 kerajaan negeri telah mengisytiharkan langkah proaktif dengan membelanjakan sejumlah RM 40 juta daripada peruntukan pembangunan khas negeri sebagai persediaan bagi menghadapi kesan jangka panjang akibat penularan Covid-19.

Langkah-langkah tersebut adalah membuktikan kerajaan negeri sentiasa berusaha sedaya upaya untuk memastikan setiap kesejahteraan dan kebajikan rakyat dapat diberi perhatian sebaik mungkin dalam menghadapi suasana mencabar tersebut,” katanya.

Katanya lagi, penjawat awam adalah merupakan tulang belakang kuat yang mendukung pelaksanaan dasar dan program kerajaan negeri selama ini sehingga kerajaan negeri terus berjaya mengekalkan prestasi yang cemerlang khususnya prestasi kewangan negeri.

“Saya bersyukur kerana prestasi kewangan tahun 2020 menunjukkan akaun semasa kerajaan mencatatkan kedudukan surplus sebanyak RM 45.44 juta. Hasil yang dipungut adalah berjumlah RM 746.99 juta, manakala perbelanjaan sebanyak RM 701.55 juta.

Secara perbandingan dengan tahun 2019, surplus akaun semasa yang diperolehi pada tahun 2020 hampir sama berbanding tahun 2019 jika ditolak pemberian khas Perdana Menteri sebanyak RM 400 juta yang diterima pada akhir tahun 2019,” katanya.

Tambahnya, tiga agenda utama pada penggal ini harap dapat diteruskan iaitu pembangunan industri hiliran bagi menambah peluang pekerjaan kepada rakyat, agenda kebersihan, keceriaan dan kehijauan negeri dan program pembangunan insan dalam usaha menangani gejala sosial.

Sehubungan itu jalinan kebersamaan yang utuh dalam gerak kerja dengan empat teras utama dilaksanakan iaitu perlaksanaan pelan strategik menangani gejala sosial, pengembangan ekonomi rakyat dan pembangunan infrastruktur negeri, pengukuhan sumber hasil dan pemerkasaan sistem penyampaian kerajaan.

Pada majlis tersebut, YAB Menteri Besar turut menyampaikan Sijil MS ISO 9001:2015 (Quality Management System) kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri yang membuktikan dan mengesahkan bahawa sistem pengurusan adalah mengikut tatacara dan menepati Standard Operating Procedure (SOP) Audit Pengurusan Antarabangsa, Sijil Penghargaan Bandar Paling Bahagia 2019 kepada Majlis Daerah Jeli dan Sijil Penghargaan Sistem Penarafan Bintang – Pihak Berkuasa Tempatan kepada Majlis Daerah Pasir Mas.

Sijil Cemerlang Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) DIY Kategori Cemerlang yang diurusetiakan oleh Bahagian Pengurusan Korporat diterima oleh Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang, Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat dan Pejabat Tanah dan Jajahan Kuala Krai.

Sijil Kecemerlangan 5 Bintang Pengauditan Pelaksanaan Pembudayaan Prinsip UMI diterima oleh Pejabat Tanah dan Jajahan Bachok, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri, Majlis Daerah Pasir Mas, Jabatan Mufti Negeri, Pejabat Tanah dan Jajahan Kuala Krai dan Pejabat Tanah dan Jajahan Tumpat.

Pada majlis yang sama, YAB Menteri Besar melancarkan Sistem Hasil Tanah Kelantan dan Portal Hasil Tanah, perasmian buku “Ibtila’ Hikmah dan Pengajaran” tulisan YAB Ustaz Dato’ Ahmad Yakob dan Perasmian Pelancaran Pembangunan Bandar Berkonsepkan Islam (Islamic City).

Turut hadir Speaker DUN, YB Dato’ Abdullah Ya’kub, Setiausaha Kerajaan Negeri, YB Dato’ Nazran Muhammad, Penasihat Undang-Undang Negeri, YB Dato’ Shahidani Abd. Aziz, Pegawai Kewangan Negeri, YB Dato’ Ahmad Robert Ab. Rahim, YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, YB Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri, Dewan Rakyat dan Dewan Negara, Ketua-Ketua Jabatan dan Ketua-Ketua Jajahan.- UPKN KELANTAN 5/1/2021

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Next Post

PAPARAN EKSKLUSIF SIRI KEJAYAAN KERAJAAN NEGERI KELANTAN BERTEMAKAN "KEBERSAMAAN DEMI RAKYAT"

SIRI 1: NAIMBIF ALTERNATIF PEMBEKAL DAGING HALALoleh Norzana Razaly MALAYSIA digemparkan dengan kebejatan moral kartel penyeludup daging yang diragui status halal dan jaminan keselamatannya selepas serbuan ke atas sebuah premis di Taman Perindustrian Senai, Johor pada 1 Disember lalu mendapat liputan meluas di semua media tempatan. 1,500 tan daging sejuk […]

Subscribe US Now